Halaman

25 March 2011

Songket Terengganu jadi dekorasi dalam Dewan Undangan Negeri

Oleh: Aida Abd Rahman

Penggunaan songket bukan hanya terhad kepada pemakaian semata-mata, malah dipelbagaikan penggunaannya sejajar dengan perkembangan teknologi dan inovasi terkini.

Malah, songket Terengganu bakal menjadi dekorasi yang akan memperindahkan lagi bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang kini sedang menjalani kerja pengubahsuaian dan dijangka siap sebelum persidangan pertama DUN 2011 yang dijadualkan pada Mei ini .
Pengusaha Nor Atikah Songket, Mohd Nor Ashari, beliau berasa sungguh bertuah dan berbangga kerana Kerajaan Terengganu memilih produk tekstil tradisi tempatan itu sebagai satu daripada dekorasi dinding yang bakal menghiasi ruang penting dalam komposisi pentadbiran negeri.

“ Sebelum ini, mungkin ramai di kalangan kita tidak terfikir bahawa penggunaan songket juga indah sebagai hiasan yang mampu menjadi tarikan dan mengindahkan lagi ruang atau satu-satu kawasan. Ia juga lambang identiti dan kesenian negeri.

“Hasil gabungan idea ramai pihak, songket yang dihasilkan perusahaan saya menjadi pilihan dan bakal diketengahkan di dalam Dewan Undangan Negeri. Ini satu pengiktirafan dan saya amat berbangga kerana pengusaha tempatan sentiasa diberi peluang menonjolkan lagi produk menerusi pelbagai cara,” katanya ketika ditemui di satu majlis, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Dalam pada itu, bangunan Dewan Undangan Negeri, yang terletak di Tingkat U2 Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu yang digunakan kira-kira 24 tahun yang lalu menjalani kerja pengubahsuaian sejak penghujung tahun lalu.

Kerja-kerja pengubahsuaian yang sedang giat dilaksanakan bagi memastikan supaya ruang itu memenuhi ciri-ciri keperluan masa kini.

Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, YB Dato' Tengku Putera Tengku Awang berkata, apabila selesai kerja itu kelak, tempat persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu akan lebih selesa dan menarik.

"Ia adalah tempat yang mulia bagi tujuan perbincangan untuk kesejahteraan dan pembangunan rakyat, oleh itu tempat yang mulia ini mestilah disempurnakan sebaik mungkin," katanya.