Halaman

23 March 2011

Ukom anjur Bicara Media Ke-3 petang ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YB Encik Yahya Khatib Mohamad ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh wartawan. - Foto: Syed Abdul Rahman.

Unit Komunikasi Negeri (Ukom) menganjurkan program Bicara Media kali ke-3 petang ini di Hotel Tanjong Vista, bagi memberi ruang kepada pemimpin kerajaan negeri bertemu dengan wartawan tempatan.

Tetamu kehormat bagi program kali ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Encik Yahya Khatib Mohamad, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Terengganu.


Antara petugas media yang hadir ke program Bicara Media.

Kira-kira 30 wartawan tempatan dijangka hadir bagi mendengar penerangan mengenai portfolio yang melibatkan YB Yahya serta mengajukan pelbagai soalan berkaitan isu-isu semasa dalam kerajaan dan parti.

Ukom mula mengadakan Program Bicara Media pada 12 Januari lalu di mana tetamu undangan ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, di tempat yang sama.

Bagi program kali kedua yang diadakan pada 20 Februari, tetamu jemputan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Program tersebut diadakan bagi merapatkan hubungan antara pemimpin negeri dengan media serta memberi peluang kepada wakil media massa mendapatkan maklumat mutakhir mengenai program-program yang dilaksanakan Kerajaan Terengganu.