Halaman

24 March 2011

Sistem pembelajaran taska YPK dinaiktaraf

Oleh: Suriati Ali

Sistem pendidikan kanak-kanak di 65 Taska Keluarga dan Taska Permata Keluarga di bawah pengurusan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dinaiktaraf bersesuaian dengan perubahan sistem pendidikan di negeri ini.

Taska berkenaan dilengkapi kemudahan pembelajaran canggih atau dikenali sebagai TB-kids di mana kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah boleh mengenali pelbagai jenis haiwan, kenderaan, abjad dan sebagainya melalui skrin sesentuh.

Tinjauan pemberita Teganukita mendapati, kanak-kanak yang belajar menggunakan kaedah itu bukan sahaja menunjukkan minat dan semangat untuk mencuba malah berdisplin serta mampu duduk diam kerana teruja mendengar suara, melihat setiap pergerakan gambar atau abjad apabila disentuh guru atau rakan.

Pendekatan itu membuatkan kanak-kanak cepat belajar dan mudah mengingati berbanding menerangkan sesuatu perkara menggunakan buku atau `flash card’.

Penolong Pengurus Taska YPK Batas Baru, Kuala Terengganu, Puan Norhayati Omar berkata, kanak-kanak yang mendapat pendidikan di taska YPK cukup bertuah kerana pelbagai kemudahan dapat dinikmati.

Ini termasuk setiap kelas dilengkapi kemudahan penghawa dingin, menu makanan yang berkhasiat dan mampu dinikmati sebanyak empat kali dalam tempoh lapan jam, pengasuh berpendidikan tinggi dan pelbagai jenis permainan canggih dan moden dapat dicuba.

“Kanak-kanak taska YPK cukup berdisplin kerana mereka tahu apa yang perlu dilakukan ketika ingin tidur, makan dan bermain.

“Pengasuh atau pembimbing yang telah melalui pelbagai jenis kursus mempunyai kaedah tersendiri untuk mendisplin setiap kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, YB Yahya Khatib, berkata kerajaan negeri melaksanakan pelbagai pendekatan semata-mata ingin melihat anak jati Terengganu mendapat pendidikan sempurna dari awal usia lagi.

Seramai 3,700 kanak-kanak berusia dua bulan hingga empat tahun mendapat pendidikan di 65 taska YPK seluruh negeri ini.

Katanya, kemudahan taska yang disediakan ini nyata memberi manfaat kepada ibu bapa terutama mereka yang bekerja dan mengalami masalah untuk menempatkan anak masing-masing.

“Kemudahan yang diterima itu dikenakan yuran yang sangat berpatutan setanding dengan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.