Halaman

20 March 2011

Tuah Orang Terengganu

Oleh: Esah Abdullah

“Sebagai anak Terengganu saya rasa bertuah kerana diberi peluang membawa 451 orang ‘Teganukita’ dengan penerbangan MH 8324 terus ke tanah suci Makah,” kata Dato’ Kapten Mohd. Nawawi Awang kepada pemberita di balai berlepas Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) sebelum berangkat ke Jedah membawa Jemaah umrah anugerah kerajaan negeri.

Walaupun sudah lama diberi tanggung jawab sebagai kapten kapal terbang dan sering membawa penumpang ke serata dunia, tapi pengalaman hari ini ternyata berbeza kerana kesemua 451 penumpang adalah orang Terengganu negeri kelahirannya.

Dato’ Kapten Mohd Nawawi yang berasal dari Besut sebelum ini telah diberi tanggung jawab membawa pesawat Boeing 747-400 (MH8036) yang membawa jemaah haji melalui penerbangan terus dari LTSM yang petama kali diperkenalkan kerajaan negeri pada 2008.

“Penerbangan kali ini, lebih istimewa kerana kesemua penumpang terdiri dari wakil rakyat, ketua jabatan, pemimpin masyarakat yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam operasi haji tahun lalu,” katanya.

Beliau yang dibantu dua pilot serta 17 anak kapal mengharapkan cuaca tenang dan baik melancarkan perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz Jedah dalam tempoh sembilan jam selepas waktu berlepas dari LTSM.