Halaman

26 March 2011

Pemimpin Umno Marang jelajah Sungai Jeniang

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Umno Bahagian Marang akan mengadakan program ‘river cruise’ menjelajah Sungai Jeniang, sebagai salah satu usaha mempromosi sungai tersebut yang diisytihar paling bersih di Terengganu.

Sungai Jeniang yang dihubungkan dengan Sungai Marang turut diwartakan bebas daripada sebarang pencemaran dan alam sekelilingnya dijaga dengan rapi.

Ketua Umno bahagian itu, Encik Yahya Khatib Mohamad, berkata program sehari itu yang melibatkan kempimpinan Umno semua peringkat di bahagian itu serta ahli-ahli Umno, akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, pada program itu pihaknya akan mengadakan pelbagai aktiviti termasuk memancing bagi memeriahkan acara.

“Tujuan utama program ini ialah untuk mempromosikan Sungai Jeniang yang diisytihar sebagai sungai terbersih di negeri ini. Acara jelajah sungai ini akan mendapat liputan meluas pihak media dan seterusnya memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menjaga kebersihan sungai,’ katanya kepada Teganukita.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, berkata pihaknya juga berharap program itu akan merapatkan hubungan antara pemimpin Umno bahagian tersebut dengan masyarakat tempatan.

Katanya, program itu juga diharap dapat menaikkan nama Kampung Jeniang yang terkenal dengan pelbagai perusahaan tradisional seperti pembuatan kuih muih, dodol daun palas dan atap nipah.