Halaman

24 March 2011

Kempen pengurangan harga insentif kerajaan untuk rakyat

Oleh: Esah Abdullah

Kempen pengurangan harga barang merupakan satu insentif kerajaan untuk memastikan semua lapisan rakyat membayar barang keperluan mengikut harga standard yang ditetapkan.

“Kita tidak mahu mereka yang berada di daerah-daerah membeli barang keperluan harian berbeza dengan apa yang dibayar oleh pengguna di bandar,” kata Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu (PPDNKKT), Encik Abdul Ghani Harun.

Katanya, PPDNK akan bekerjasama dengan pengurusan pasar raya dan pasar mini yang terdapat di negeri ini untuk menawarkan penyelarasan harga barangan di bawah kawalan kerajaan.

“Contohnya beras ST15, kerajaan beri subsidi RM4 supaya harga dapat kekal RM18.00 sekampit, tepung harga semasa RM1.35 sekilo berbanding harga sebenar RM1.80 (subsidi 45 sen), gula RM2.10 harga sebenar RM2.50 (subsidi 40 sen) serta minyak masak hanya RM2.50 berbanding harga sebenar RM3.50 (subsidi RM1.00),” katanya.

Katanya, sekarang harga gas cuma RM26.60 sedangkan harga sebenar adalah RM53.62 jadi kerajaan telah beri subsidi RM27 setong, begitu juga petrol RON95 yang dijual dengan harga RM1.90 sedangkan harga sebenar RM2.33 (subsidi 43 sen seliter).

Beliau berkata, bukan setakat pengguna di daerah-daerah kempen ini juga membabitkan mereka yang tinggal di pulau-pulau dan kawasan pedalaman.

“Kita telah menyewa sebuah kapal dari Kuala Besut untuk membawa barang keperluan ke Pulau Perhentian bagi memastikan mereka juga memperolehi harga barangan seperti apa mana yang terdapat di tanah besar,” katanya..

Katanya, kos pengangkutan akan disubsidi oleh kerajaaan bagi membolehkan harga yang dijual di kawasan pedalaman dan pulau sama dengan harga yang diperolehi masyarakat di bandar.

“Semua itu adalah untuk kebajikan kepada pengguna dan meredakan kesusahan mereka di pedalaman mendapat bekalan makanan dengan harga yang stabil sekali gus memberi peningkatan kepada pengguna,” katanya.