Halaman

25 March 2011

Kerajaan sedia ratusan juta untuk sedia kemudahan jalan

Oleh: Esah Abdullah

Berdasarkan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan, kerajaan negeri terus memacu pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam yang menyeluruh dan seimbang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Zaa’bar Mohd Adib berkata, kerajaan menyediakan peruntukan besar untuk projek jalan negeri(luar bandar) dan persekutuan serta pembinaan jambatan mengikut keutamaan di daerah.

Katanya, antara keutamaan projek termasuklah persimpangan bertingkat di Bandaraya Kuala Terengganu membabitkan Jalan Batu Buruk ke Jalan Kamarudin dan ke persimpangan Cabang Tiga/Kuala Berang,Kuala Terengganu yang menelan kos RM465 juta.

“Jalan Kemajuan ke Jambatan Sultan Mahmud (RM170 juta) dan dari Jambatan Sultan Mahmud ke jalan Sultan Mohamad (RM165 juta),” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan merancang membina jalan utama dari Universiti Darul Iman (UDM) dan Taman Ilmu ke Kampung Raja di Besut dan Jalan Kuala Terengganu By-Pass fasa 3 dan Feeder Road (RM120 juta).

“Kerajaan juga memperuntukan RM400 juta bagi projek pembinaan jambatan kedua yang merentasi Sungai Terengganu bagi mengelak kesesakan di jambatan Sultan Mahmud terutama ketika waktu puncak,” katanya.

Katanya, semua cadangan projek akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan berbentuk baru dan sambungan kemudahan sedia ada .