Halaman

23 March 2011

Pulau bebas cukai masuki fasa penyediaan pelan

Oleh: Suriati Ali

Perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan pulau buatan manusia, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu sebagai mempusat beli belah bebas cukai kini berjalan lancar dan sudah memasuki fasa penyediaan pelan.

Jika perancangan berjalan mengikut jadual ditetapkan, lokasi membeli belah itu akan dapat disiapkan menjelang Ogos tahun depan selepas kerja-kerja asas siap sepenuhnya.

Pengurus Bahagian Pembangunan Tasik Kenyir, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Encik Omar Ismail berkata, selepas fasa yang mengambil masa setahun setengah itu selesai, segala projek untuk membangunkan pulau bebas cukai akan dimulakan secara berperingkat-peringkat.

"Peringkat penyediaan pelan ini boleh dikatakan sebagai peringkat akhir rancangan tersebut tetapi proses membuka tender tidak akan dilakukan lagi buat masa terdekat ini” katanya.

Katanya, pada masa sama, Petang Island Resort (PIR), di tasik itu, yang kini mempunyai 24 tempat penginapan, bakal menerima 26 unit tambahan bilik lagi, menjadikan 50 bilik kesemuanya apabila siap nanti.

"Kita tambah bilik dan kemudahan lain di tasik itu secara berperingkat-peringkat bergantung kepada peruntukan yang diluluskan kerajaan," katanya.