Halaman

26 March 2011

Manfaatkan inovasi untuk pembangunan tekstil tradisi

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengusaha tekstil tradisi khususnya batik dan songket di negeri ini digalakkan mengambil inisiatif bagi memanfaatkan inovasi terkini dalam pengeluaran mereka supaya dapat memenuhi keperluan pasaran yang lebih global dan kompetitif.

Mereka juga tidak boleh terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan semata-mata sehingga membantut pertumbuhan dan pembangunan kreatif mereka dalam industri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata kerajaan negeri menyediakan pelbagai saluran bagi memastikan pembangunan tekstil negeri serta mampu mencapai hasrat menjadikan Terengganu sebagai hab kelahiran, pembangunan, pembelajaran dan kajian tekstil tradisi di negara ini.

“Pada masa kini, Terengganu seharusnya berbangga dengan kewujudan Galeri Seni Warisan Terengganu dan Galeri Nur Zahirah sebagai pusat pembangunan reka cipta batik dan songket, selain menjadi pusat inkubasi, kajian, sumber daya dan pameran.

Manakala Kota Batik menumpukan kepada kreativiti dan keindahan batik serta Desa Ukiran Kayu menjadi pusat memaparkan kesenian ukiran kayu tradsional,” katanya dalam Simposium Tekstil Tradsional Asean Kali Ke-3, di taman Tamadun Islam, baru-baru ini.

Beliau berkata, Institut Kecemerlangan Rekaan Terengganu (TiDE) memainkan peranan penting dalam mempromosikan industry tekstil ini dalam pelbagai pameran dan seminar ke seluruh dunia termasuk negara Eropah.

Dato’ Mohamed juga menghargai sokongan yang diberikan Komuniti Seni Tekstil Tradsional Asean (Asean TTAC) yang berkongsi maklumat, pengetahuan, penyelidikan dan kepakaran untuk bekerjasama dalam memartabatkan serta memperrtahankan tekstil tradisi Terengganu.

Sebanyak 15 negara berkampung sempena simposium dua hari yang menghimpunkan 330 peserta negara Asean seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand, Myanmar, Laos dan Vietnam, selain negara sokongan Asean seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Korea, Hong Kong dan Australia.

Malaysia terpilih sebagai tuan rumah selepas simposium pertama kali diadakan di Jakarta, Indonesia pada 2005 dan di Manila, Filipina pada 2009. Sementara simposium 2012 bakal dilaksanakan di Thailand.