Halaman

20 March 2011

Inap desa mampu tonjol adat Melayu

Oleh: Suriati Ali

Enam kampung yang terbabit dalam program inap desa atau homestay di Terengganu nyata dapat membantu kerajaan negeri memperkenalkan pelbagai budaya ketimuran dan adat resam Melayu kepada pelancong asing dan luar Terengganu.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Terengganu, Encik Ahmad Fathil Ghani, berkata kebanyakan pelancong datang dari negara Eropah seperti Itali, Sepanyol, Jerman, Belgium, Denmark dan England manakala sebelah Asia pula dari Jepun, China, Korea Selatan, Taiwan serata negara Asean, cukup meminati adat dan budaya orang kita.

“Apabila mereka bermalam di homestay, mereka akan menjamu selera bersama-sama pemilik rumah, secara tidak langsung dapat mempelajari adat orang Melayu ketika makan iaitu bagi perempuan perlu bersimpuh dan makan tanpa menggunakan sudu,” katanya.

Kampung yang terbabit dalam program inap desa adalah Teluk Ketapang, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, Felda Selasih (Besut), Rhu Sepuluh (Setiu), Pasir Raja (Dungun) dan Kampung Buluh (Hulu Terengganu) dengan membabitkan 104 buah rumah dan 106 bilik penginapan.

Sejak inap desa itu ditubuhkan pada 2007, pelancong dari 30 negara asing telah melawat dan menginap di lokasi berkenaan.

Pelbagai program sampingan dianjurkan termasuk melawat tempat-tempat menarik sekitar Kuala Terengganu seperti Muzium Negeri, Taman Tamadun Islam dan Pasar Besar Kedai Payang.

Tidak ketinggalan menyertai program kemasyarakatan dan permainan tradisional Terengganu iaitu gasing, congkak dan wau.