Pembinaan Ampangan Jajar Baru Sungai Besut atau lebih dikenali ‘Besut Barrage’ yang berharga RM86 juta dapat membantu meningkatkan kecekapan bekalan air ke kawasan jelapang padi di daerah Besut.
Projek berkenaan juga dijangka dapat membantu meningkatkan pengeluaran padi di kawasan berkenaan sehingga mencecah 6 metrik tan sehektar menjelang tahun 2015.
Secara tidak langsung, projek yang dirancang kerajaan itu bertujuan meningkatkan hasil pendapatan para petani serta mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut.
Mengikut Berita Ketara 2010, empangan baru itu yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Jertih, mula dibina pada 7 Jun 2009 dan mengambil masa 20 bulan untuk disiapkan.
Pembinaan empangan itu bertujuan menyediakan bekalan air yang lebih efisien serta mencukupi dalam meningkatkan hasil padi di samping bertindak sebagai sokongan kepada tebatan banjir bagi seluruh kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (Ketara).
Projek itu dapat meningkatkan bekalan air ke kawasan Ketara sebanyak 28 peratus iaitu dari sembilan cumec kepada 11 cumec di mana struktur baru itu dapat menakung bekalan air pada paras bekalan penuh (FSL) 14.9 m.
Dengan adanya empangan itu, lebihan curahan hujan pada musim tengkujuh dapat ditakung dan disimpan secara berkesan.