Halaman

20 March 2011

MBKT mesra penduduk sempena Hari Bertemu Pelanggan

Oleh: Aida Abd Rahman

Hari Bersama Pelanggan yang dianjurkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) secara bulanan mampu menjadi wadah jabatan itu merapatkan hubungan dengan penduduk setempat sambil menyelesaikan permasalahan serta aduan mereka.

Program secara berkala setiap bulan itu dijalankan di kawasan yang mudah dikunjungi, strategik dan menjadi tumpuan orang ramai.
Pengarah Jabatan Korporat Kemasyarakatan dan Kualiti MBKT, Encik Ghani Idris, berkata pendekatan mengadakan program itu mendapat respon yang baik daripada penduduk setempat yang tampil untuk mengadu masalah mereka.

“Program ini memberi peluang mereka menyuarakan masalah dan aduan secara terus kepada MBKT untuk tindakan segera. Sebarang masalah mungkin boleh diselesaikan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga jam,” katanya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri bandar, YB Toh Chin Yaw dan Pengarah Jabatan Kawalan bangunan MBKT, Encik Zakaria Abdullah.

Katanya, masalah kecil seperti longgokan sampah dan pokok tumbang lazimnya dapat diselesaikan dalam masa beberapa jam sahaja, bagaimanapun bagi kes besar dan memerlukan lebih banyak prosedur akan mengambil masa lebih lama.

“Sebagai contoh, masalah berkaitan haiwan ternakan dan anjing liar mungkin memakan masa lebih panjang kerana MBKT hanya membantu Jabatan Veterinar menyelesaikan tugas mereka dalam kes sebegitu,"katanya.