Halaman

25 March 2011

100,000 murid di Terengganu guna e-Book akhir tahun ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Dulunya sejak zaman berzaman, Terengganu lebih dikenali dengan keropok lekor dan songket tenun yang sangat halus buatannya.

Para pelancong datang dari jauh semata-mata mahu menikmati keenakan keropok lekor dan memberi sehelai dua songket sebagai ‘ole-ole’ untuk dibawa pulang ke tempat masing-masing.

Namun begitu, kejayaan demi kejayaan yang diraih di bidang pelajaran sejak kebelakangan ini, mula mengalih pandangan masyarakat luar terhadap negeri ini.

Terkini nama Terengganu terus menjadi sebutan apabila ia mengorak maju di bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi dengan terhasilnya e-Book.

Kejayaan menjadi perintis e-Book menjadikan Terengganu cukup masyhur, termasuk di kalangan negara luar apabila produk tersebut turut diimport ke beberapa negara luar.
Sehingga ini, lebih 50,000 murid Tahun Empat, Lima dan Enam di seluruh negeri sudah mendapat e-Book yang diagih secara percuma oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, berkata kira-kira 100,000 murid sekolah rendah akan mendapat e-Book menjelang akhir tahun ini.

Proses pengagihan e-Book akan diteruskan dalam tempoh terdekat bagi memastikan sasaran 100,000 murid mendapat e-Book akan dicapai, sebelum sesi persekolahan 2012 bermula.

Kedudukan Terengganu sebagai negeri terbaik dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama 10 tahun berturut-turut menjadi penyuntik semangat kepada pemimpin kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada para pelajar.

Hakikat ini terbukti apabila kini kelas maya diperkenalkan membabitkan tiga buah sekolah rendah di Kuala Terengganu dan Kemaman.

Dengan penggunaan pembelajaran secara ‘online’ itu diharapkan prestasi pelajar dapat ditingkatkan dan kelas tersebut diperluaskan di seluruh negeri.

Program e-Book kini mendapat pujian di kalangan pendidik, cendikiawan dan pemimpin kerajaan di dalam dan luar negara.