Halaman

25 March 2011

PPDNKKT laksana 60 program dekati pengguna

Oleh: Esah Abdullah

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu (PPDNKKT) merancang mengadakan 60 program kepenggunaan sepanjang tahun ini membabitkan peruntukan RM390,000.

Timbalan Pengarahnya, Encik Abdul Ghani Harun berkata, program yang dirancang itu merupakan kesinambungan tanggungjawab jabatan bagi melindungi kepentingan pengguna di negeri ini.

“Pelbagai pendekatan membabitkan segenap lapisan masyarakat antaranya, mengadakan ceramah, pameran, sembang pengguna serta kempen agihan risalah untuk memberi kesedaran tentang hak mereka sebagai pengguna,” katanya.

Program Bestari turut di adakan pada minggu pertama di setiap daerah bermula di Hulu Terengganu, diikuti Besut, Dungun, Kemaman, Setiu, Kuala Terengganu dan Marang serta merancang setiap program akan diarasmikan oleh wakil rakyat di kawasan terbabit.

“Setiap program yang dianjurkan tumpuan khusus adalah untuk pengguna terutama golongan yang tinggal di kawasan pedalaman kerana kumpulan ini agak lambat mendapat info terhadap setiap isu yang berbangkit,” katanya.

PPDNKKT juga merancang beberapa program baru di kawasan baru yang dikenal pasti di bawah projek pengedaran barang perlu di Sungai Sayap, Keruak, Pulau Perhentian, Besut dan Mukim Pasir Raja, Hulu Dungun.

Manakala projek penyeragaman harga LPG dan program komuniti ‘drumming’ turut diadakan di kawasan berkenaan termasuk di Pulau Redang, Kuala Terengganu.