Halaman

02 April 2011

Terengganu mampu anjur TWIJC buat kali kedua

Oleh: Suriati Ali

Terengganu membuktikan kebolehan menjadi tuan rumah bagi acara berprestij Terengganu World Invitational Jetrace Challenge (TWIJC) 2011, buat kali kedua, di Pulau Duyung, Kuala Terengganu.

Hadiah keseluruhan yang ditawar dalam kejohanan yang turut disertai juara dunia, pelumba professional dan amatur ini hampir RM120,000.

TWIJC berlangsung selama tiga hari dan berakhir esok (3 April) bakal mempamerkan aksi lasak 25 pasukan dari sembilan negara. Malaysia pula menghantar 12 pasukan termasuk satu dari Terengganu.

Aktiviti sampingan yang dianjurkan adalah, pameran Maritim, pertandingan layang-layang, pertandingan sepak raga bulat, pertandingan sepak bulu ayam, pertandingan bola sepak pantai dan pertandingan menangkap itik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Rahin Mohd Said berkata, pelbagai acara sukan rakyat diadakan semata-mata ingin menarik minat rakyat tempatan dan luar Terengganu datang menonton sukan berprestij ini.

“Pada masa sama, ia mampu memperkenalkan budaya dan adat resam Terengganu kepada pelancong asing,” katanya. Peserta Malaysia, Encik Zulfaizal yang bakal bertanding dalam kategori expert runabout open, pro-am runabout open dan endurance, berkata dia akan melakukan yang terbaik dalam kejohanan kali kedua disertainya di negara sendiri.

“Pengalaman yang dicungkil sebelum ini akan digunakan sepenuhnya supaya memperoleh kejayaan membanggakan secara tidak langsung dapat mengharumkan nama Malaysia khususnya Terengganu,” katanya.

Juara dunia, Amy Green dari Amerika Syarikat, berkata, dia cukup bertuah kerana terpilih dan berpeluang mengikuti TWIJC di Terengganu.

Katanya, kejohanan sama sewajarnya diteruskan, kerana Terengganu memiliki keindahan pantai dan sungai yang cukup unik dan amat sesuai menganjurkan sukan seperti ini.

“Pengalaman selama empat hari berada di Terengganu tidak akan dilupakan dan akan kembali jika mempunyai masa dan kelapangan,” katanya.