YAB Dato' Seri Ahmad Said ketika berucap di hadapan hadirin ketika Perjumpaan Menteri Besar Bersama-sama Pengetua, Guru Besar dan Pegawai Eksekutif Maklumat di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Foto: Harish Fadzillah.
Kerajaan Terengganu akan memastikan kesemua kira-kira 700 sekolah rendah dan menengah di negeri ini melaksanakan kelas maya sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun akan datang.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) (PP DUN) mengambil insiatif menggunakan peruntukan yang disediakan kepada setiap DUN bagi mengadakan sekurang-kurangnya satu kelas maya di kawasan masing-masing sebelum berakhir 2011.
“Sekarang kita bagi pelajar kita e-Book, disusuli e-Book kepada guru-guru yang mengajar Tahun Enam. Kita laksanakan secara berperingkat-peringkat kerana kekangan kos. Selepas itu kita lakukan projek perintis dengan memulakannnya ujian (kelas maya) di tiga sekolah terlebih dahulu.
“Daripada situ apabila kita berpuas hati dengan nilai tambah yang dilaksanakan, kita akan buat di kesemua 32 DUN yang tidak memerlukan peruntukan tambahan, tetapi menggunakan peruntukan sedia ada yang kita salurkan kepada Adun melalui peruntukan Bantuan Am dan Projek-Projek kecil,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama-sama Pengetua, Guru Besar dan Pegawai Eksekutif Maklumat (EIO) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (27 Mac).
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran , Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud dan Pengurus Besar Kolej Pusat Kemahiran dan Pembangunan Negeri Terengganu (Tesdec), Haji Che Razali Adis.
Menteri Besar berkata, sebanyak RM1 juta disediakan setiap tahun kepada Adun dan PP DUN melibatkan RM500,000 bagi Bantuan Am yang boleh digunakan untuk membeli peralatan seperti skrin sesentuh dan monitor.
Manakala sebahagian peruntukan melalui Projek-Projek Kecil boleh digunakan untuk mengubah suai kelas seperti pemasangan penghawa dingin, perhiasan, mengecat dan memasang jeriji besi sebagai langkah keselamatan dan mengelak kecurian peralatan di kelas maya.
“Kita bagi peluang wakil rakyat kita atau PP DUN memilih sekolah mana yang mahu diberikan keutamaan dahulu. Bergantung kepada mereka jika mereka mahu laksanakan di sekolah yang kecil mungkinmelibatkan empat kelas sahaja, kalau sekolah lebih besar mungkin ada enam hingga tujuh kelas.
“Bagaimanapun, pada tahun depan kita akan pastikan 32 kelas maya lagi akan dibuat oleh DUN ( Adun dan PP DUN) , manakala 32 lagi dilaksanakan oleh kerajaan negeri melalui bajet tambahan. Mungkin akan mencecah sehingga 60 lebih hingga 70 (kelas maya) pada tahun depan,” katanya.
Beliau berkata, akhirnya nanti seluruh sekolah di negeri ini akan memiliki kemudahan wi-fi dan kelas maya yang membolehkan pelaksanaan tuisyen talian dan peperiksaan talian dijalankan secara sistematik dan lancar.
Menteri Besar berkata, pelajar yang mengikuti kelas maya lebih teruja dan seronok berada dalam kelas maya berbanding dalam kelas biasa. Malah ada kes pelajar yang selalu ponteng berubah secara mendadak yang mana lebih rajin ke sekolah bagi mengikuti kelas maya.
Sehingga kini, tiga sekolah terpilih sebagai perintis melaksanakan kelas maya adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga sejak 6 Februari lalu, SK Teluk Kalong sejak 20 Februari lalu dan SK Kompleks Seberang Takir yang sedang menjalani kerja pemasangan peralatan sejak 7 Mac lalu.
Seramai 546 pelajar Tahun Empat hingga Tahun Enam daripada SK Paya Bunga (47 pelajar), SK Telok Kalong (151 pelajar) dan SK Kompleks Seberang Takir (348) mendapat manfaat daripada kelas maya berkenaan.