Halaman

21 April 2011

Bukit Wan muncul kampung paling bersih dan ceria di Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman



Kampung (Kg) Bukit Wan, Kuala Terengganu muncul johan bagi kategori Kampung Luar Kawasan Operasi dalam Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2010.

Kemenangan itu membolehkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) itu menerima RM100,000 bagi menjalankan projek dan wang tunai RM10,000. Malah, kerajaan negeri juga bakal menghantar JKKK kampung itu melawat Australia tahun depan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyampaikan hadiah kemenangan itu di majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Sawa, Marang, petang semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, PembangunanMasyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Haji Alias Abdullah dan Adun Jabi, Haji Ramlan Ali.

Kg Bukit Wan yang terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit sebelum itu turut diumumkan pemenang JKKK bagi kategori Kebersihan Persekitaran (jalan utama dan jalan kampung), Kebersihan Infrastruktur Dalam Kawasan dan Keceriaan Lanskap. Kemenangan itu membolehkan mereka menerima wang tunai RM1,000 bagi setiap kategori.

Pengerusi JKKK Bukit Wan, Chek Harun Ismail, berkata sebaik sahaja dicalonkan mewakili daerah dalam pertandingan itu pada September tahun lalu, hampir 80 peratus masyarakat di kampung berkenaan melibatkan diri dan menggandakan usaha membersih serta mengindahkan kawasan kampung.

“Setiap hujung minggu, pada Jumaat dan Sabtu kami akan turun padang bergotong-royong memastikan setiap sudut dalam kampung kami ceria, bersih dan indah dengan tanaman serta lanskap yang menarik pandangan.

“Apa yang membanggakan, majoriti belia di kampung kami turut sama membantu. Suasana itu pastinya sukar ditemui di kampung lain dan ia memberi kelebihan kepada kami dalam memastikan matlamat dan slogan `Kampung Kita, Tanggungjawab Kita’ terlaksana,” katanya.

Perkara itu turut diakui Setiausahanya, Ambak Ismail yang sentiasa menyuntik semangat kepada golongan muda di kampung mereka untuk turut sama dalam sebarang aktiviti kampung dengan menjaga kebajikan dan keperluan golongan itu dalam setiap program, mahupun menyalurkan dana yang disediakan kerajaan sebaik mungkin.

Selain kemenangan terbaru, kampungnya juga pernah memenangi johan Anugerah JKKK Cemerlang Daerah Kuala Terengganu 2010, tempat ketiga Anugerah Desa Cemerlang peringkat negeri 2009 dan tempat ketiga Anugerah kebersihan dan Pengurusan Kubur Terbaik peringkat negeri 2010.

Sementara johan bagi kategori Kampung Dalam Kawasan Operasi dimenangi PAKR Bukit Sawa, Marang diikuti tempat kedua, Kg Guntong Luar, Setiu dan tempat ketiga Kg Medan Jaya, Marang.

Manakala tempat kedua dan ketiga bagi kategori Kampung Luar Operasi pula menjadi milik Kg Tok Dor, Hulu Terengganu dan Kg Tanjung Baru, Hulu Terengganu.

Johan berjaya membawa pulang RM100,000 (projek) dan wang tunai RM10,000, tempat kedua mendapat RM750,000 (projek) dan wang tunai RM7,500, sementara tempat ketiga memperolehi RM50,000 (projek) serta wang tunai RM5,000.

Selain pemenang tempat pertama yang bakal mendapat penajaan kerajaan melawat Australia, pemenang tempat kedua dan ketiga pula masing-masing berpeluang ke Beijing dan Shanghai, China.




Bandar di Terengganu disusun semula

Oleh: Esah Abdullah


Kerajaan negeri akan menyusun semula bandar-bandar di Terengganu secara berperingkat. - Foto: Zulkipli CW Putra.

Kerajaan negeri akan membuat penyusunan semula semua bandar-bandar di negeri ini secara berperingkat dengan menetapkan 80 peratus Bumiputera akan memiliki atau menyewa lot-lot perniagaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, tidak boleh dielakkan bila ada pembangunan baru yang akan dilaksanakan , tentu membabitkan pengambilan balik tanah mengikut nilai harga semasa.

“Untuk pembangunan dalam kawasan bandar kita terpaksa lakukan biarpun kadang-kadang ia menjadi isu kepada pihak yang suka ambil kesempatan dengan menangguk di air keruh,” katanya kepada pemberita selapas membuat tinjauan ke daerah Besut.

Katanya, melalui Lembaga Amanah Tabung Warisan Negeri urusan mengambil balik tanah dilakukan bertujuan membina lot-lot perniagaan untuk diagihkan kepada masyarakat setempat yang membabitkan seluruh daerah.

“Kerajaan juga akan pastikan masyarakat Melayu dalam bandar yang terbabit dengan pengambilalihan tanah ini akan ditempatkan semula di kawasan sama kerana bimbang jika dipindahkan jauh dari tempat asal mereka akan kehilangan sumber pendapatan,” katanya.

Katanya, bagi memastikan hak milik orang melayu tidak hilang, kerajaan menetapkan 80 peratus diberikan kepada Bumiputera untuk memiliki atau menyewa lot-lot perniagaan yang disediakan.

Sehubungan itu, dua lot rumah pangsa mampu milik lima tingkat yang mengandungi 144 unit berharga RM26 juta sedang dalam pembinaan di Kuala Besut untuk mengatasi isu kekurangan rumah kediaman di kalangan masyarakat hari ini.





Terengganu paling banyak salah guna jenama `homestay’

Oleh: Aida Abd Rahman


Dato' Seri Ahmad Said melihat halaman rumah penduduk kampung selepas menyampaikan hadiah pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung peringkat Negeri Terengganu 2010. - Foto: Syed Abdul Rahman.

Pengusaha pelancongan di Terengganu dikesan paling banyak menyalahgunakan jenama perkhidmatan `guest house’ atau rumah tumpangan kepada `homestay’ (inap desa), sedangkan mereka tidak mengamalkan cara dan amalan sebenar perkhidmatan yang sepatutnya sebagai sebuah inap desa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kesal dengan sikap pengusaha berkenaan kerana mereka sanggup menggunakan jenama yang tidak sepatutnya itu berbanding dengan perkhidmatan yang disediakan semata-mata kerana kelihatan lebih popular di kalangan rakyat negara ini.
“Sebagaimana yang saya katakan tadi, `homestay’ ini bermakna mereka (pengunjung) tinggal bersama dengan tuan rumah, sama ada makan pagi, minum petang dan menjalankan aktiviti bersama-sama dengan tuan rumah.

“Sekarang ini dia sediakan rumah (penginapan), pengunjung datang dan duduk, itu dinamakan `guest house’. Itu perbezaannya dan penyalahgunaan istilah itu sendiri, Terengganu paling banyak menyalahgunakan istilah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena majlis Penyampaian Hadiah pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung peringkat Negeri Terengganu 2010, di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Sawa, Marang, petang semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, PembangunanMasyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Haji Alias Abdullah dan Adun Jabi, Haji Ramlan Ali.

Sehubungan itu, kerajaan negeri sudahpun mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan supaya memanggil pengusaha rumah penginapan berkenaan supaya menurunkan papan tanda (perniagaan) masing-masing dan digantikan dengan papan tanda yang baru.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, inap desa diberi pengiktirafan oleh Kementerian Pelancongan berdasarkan penilaian, kategori serta syarat tertentu bagi melayakkan mereka menggunakan jenama inap desa berkenaan.

“Bagaimanapun, pengusaha pelancongan ini sewenang-wenangnya menggunakan label dan meletakkan anak panah dengan memaparkan `Homestay’ .

“Pandangan saya, di Terengganu majoriti boleh dikatakan menyalahgunakan jenama itu, sedangkan hakikat sebenar `guest house’. Saya tidak pasti kenapa mereka menggunakan jenama itu, tetapi mungkin disebabkan mahu lebih popular, tetapi saya minta diperbetulkan.

Katanya, penggunaan rumah tumpangan ataupun inap desa bagi pelancong tempatan mungkin tidak memberi apa-apa kesan kerana mereka hanya mahu sebuah tempat tinggal sementara, tetapi tanggapan pelancong asing terhadap perkhidmatan yang disediakan sebuah inap desa adalah berbeza.



Majlis belanja RM8 juta untuk pendidikan

Oleh: Suriati Ali

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan RM8 juta bagi membiayai pelbagai program pendidikan di Terengganu pada tahun ini.

Jumlah itu meningkat RM3 juta berbanding peruntukan RM5 juta untuk program seumpama itu tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman berkata, di bawah peruntukan tahun ini, jumlah itu juga merangkumi kos pembiayaan bagi pelajar daripada keluarga asnaf dan fakir miskin di Terengganu.

“Bagi tujuan itu, seramai 500 pelajar asnaf fakir miskin lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 akan dibiaya bagi mengikuti kursus pra-diploma dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau memberitahu, sesi kedua pengambilan pelajar itu akan menjalani kursus selama satu semester bermula Jun ini.

"Jumlah 500 pelajar ini merupakan sesi kedua manakala untuk sesi pertama, seramai 126 orang pelajar sedang mengikuti kursus tersebut dengan kos pembiayaan berjumlah RM252,000," katanya

Katanya, pelajar dariapada golongan tersebut yang berminat dan mempunyai syarat kelulusan sekurang-kurangnya kredit dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik boleh mengemukakan permohonan.

Katanya, borang permohonan telah diedarkan Maidam menerusi kaunselor di sekolah-sekolah di negeri ini dan tarikh akhir permohonan pada 30 April ini.

Wan Harujan turut memberitahu, pelajar berkenaan seterusnya berpeluangmenyambung pengajian untuk peringkat diploma di UiTM dalam bidang perdagangan atau bukan aliran sains.

"Maidam juga akan mengkaji untuk membiayai pelajar ini yang menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi (diploma atau ijazah), pelajar miskin yang memerlukan bantuan mungkin kita akan bantu," katanya.




Tazkirah bulanan untuk pemantapan modal insan

Oleh: Suriati Ali dan Noor Asmihan Mansor


SIGNIFIKAN ... Program pemantapan untuk membina modal insan.

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayan Negeri Terengganu telah mengadakan aktiviti berupa tazkirah bulanan bertempat di Auditorium Radio Malaysia, Bukit Pak Apil, Terengganu (TERENGGANUfm) baru-baru ini.

Seramai 80 0rang dari berbagai agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi Kebudayaan Negeri Terengganu telah hadir dalam Tazkirah yang telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Haji Kamalruddin Omar, Pegawai Khas Agama Menteri Besar Terengganu dengan tajuk " Pemantapan Jiwa Penjawat Awam".




Ceramah tersebut telah dirakamkan dan disiarkan dalam program HIDAYAH yang ke udara setiap hari pada pukul 1.35 minit tengahari.

Program ini diadakan setiap bulan dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Terengganu, Jabatan Penerangan Terengganu, JASA Terengganu dan lain-lain agensi di bawah kementerian.



Antara tujuan diadakan program keilmuan ini diadakan adalah untuk membina jati diri warga kerja agar cemerlang, gemilang dan terbilang.



Ketepikan budaya kerja lapuk – SUK

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, meminta agar penjawat awam di negeri ini mengetepikan budaya kerja lapuk, tetapi meneroka bidang-bidang baru melalui kekuatan iltizam dan perubahan dalam cara mereka berfikir dan bertindak.

Beliau berkata, dalam menongkah arus transformasi, cabaran yang dihadapi penjawat awam kini amat berat, khususnya bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang bersepadu dan meningkatkan prestasi secara menyeluruh.

“Bagaimanapun, ia bukanlah satu alasan untuk kita berputus asa sedangkan warga perkhidmatan awam telah dibekalkan dengan kelengkapan yang mencukupi untuk menghadapi cabaran ini,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan YAB Menteri Besar dengan pegawai tadbir negeri dan ketua-ketua jabatan di Awana Kijal, baru-baru ini.

Beliau berkata, untuk menjadi penjawat awam yang lebih cemerlang, budaya pemikiran mereka perlu diberi nafas baru dengan mengamalkan budaya pemikiran secara produktif agar dapat menghasilkan idea-idea baru yang lebih inovatif.

Katanya, mereka tidak perlu lagi memberi fokus penambahbaikan idea-idea lama, yang mungkin tidak dapat bertahan apabila berdepan dengan arus perubahan yang mencabar.

“Pengamalan budaya pemikiran secara kreatif dan inovatif akan membuka ruang-ruang baru, serta akan dapat menjayakan agenda transformasi perkhidmatan.

“Sekiranya momentum ini dapat digandakan, saya percaya agenda “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan” yang telah diperkenalkan oleh Y.A.B Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu akan tercapai,” katanya.

Dato’ Haji Mazlan berkata, penjawat awam perlu menyedari bahawa meerka merupakan agen perubahan dan keupayaan untuk membawa perubahan itu yang hanya boleh dibuktikan dengan pemikiran kreatif dan bersifat inovatif.

“Selain melalui kursus bagi peningkatan ilmu, penyediaan suasana persekitaran dan cara kerja yang kondusif menggalakkan keupayaan berfikir secara strategik, perlu diberi keutamaan,” katanya.



20 April 2011

TH bayar zakat hampir RM3 juta

Oleh: Suriati Ali


Majlis penyerahan cek zakat disampaikan Encik Mohd. Hisham Harun kepada Tengku Sri Bendahara Raja Tengku Mustafa Kamel Sultan Mahmud bagi pihak Maidam, di Istana Tetamu di Kuala Terengganu.

Tabung Haji (TH) menyerahkan wang zakat perniagaan tahun ini berjumlah RM2,931,925.89 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Sumbangan zakat tersebut menyaksikan peningkatan sebanyak RM153,665 berbanding RM2,778,291 pada tahun lalu.

Penyerahan cek zakat tersebut disampaikan Pengurus Besar Kanan Kewangan Korporat & Perkhidmatan TH, Encik Mohd. Hisham Harun kepada Tengku Sri Bendahara Raja Tengku Mustafa Kamel Sultan Mahmud bagi pihak Maidam, di Istana Tetamu di Kuala Terengganu, pagi tadi.

Pada majlis itu, anak syarikat TH iaitu TH Travel & Services turut menyerahkan sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM150,000 kepada Maidam yang disampaikan oleh Pengurus Wilayah Timurnya, Ahmad Zawawee Mohd. Noor.

Hadir menyaksikan penyerahan itu Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman.

Encik Mohd. Hisham berkata, sumbangan zakat perniagaan tahun ini adalah hasil kutipan daripada 428,852 pendeposit di negeri ini sepanjang tahun 2010.

“Untuk zakat perniagaan tahun 2009, ia merupakan sumbangan daripada 351,518 pendeposit di Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan wang zakat itu.

Beliau turut memberitahu, TH sedang mengkaji untuk menyediakan perkhidmatan bagi kemudahan para jemaah Haji di tiga negeri Pantai Timur sejurus Kompleks TH Wilayah Timur di Kuala Nerus siap pada Julai 2012 nanti.

Beliau memberitahu, buat masa ini, pembinaan projek berkenaan yang menelan belanja RM70.3 juta itu kini baru lima peratus siap dan bakal menyediakan pelbagai fasiliti untuk jemaah haji.

"Apabila kompleks berkenaan siap kelak, ia turut menempatkan 182 bilik, bilik persidangan untuk kapasiti 1,000 orang selain hotel dan kolam renang," katanya.




Imam Besar Makkah puji usaha kerajaan martabatkan Islam

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Imam Besar Masjidil Haram, Dr Abdul Rahman Assudais, memuji usaha Kerajaan Malaysia memartabatkan agama Islam dan sentiasa berlaku adil kepada penganut agama lain di negara ini

Sebelum ini sudah ramai ulamak dan cendikiawan Islam dari seluruh dunia memberi pengiktirafan dan memuji pelbagai usaha yang dilakukan pemimpin dan Kerajaan Malaysia bagi memartabatkan agama Islam.

Malah, tokoh ulamak terkenal Mesir, Sheikh Yusuf al-Qaradawi yang sering datang ke negara ini sama ada atas jemputan rasmi kerajaan mahu pun bagi memenuhi undangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tidak jemu-jemu menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Setiap kali bertemu dengan pemimpin negara atau pun berucap di khalayak ramai, pasti ulamak dan cendikiawan Islam terkenal itu menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia melakukan yang terbaik bagi menegakkan agama Allah itu.

Terbaru, Imam Besar Masjidil Haram, Dr Abdul Rahman Assudais, memuji usaha Kerajaan Malaysia memartabatkan agama Islam dan sentiasa berlaku adil kepada penganut agama lain di negara ini.

Mengikut laporan akhbar hari ini, Dr Abdul Rahman yang sedang dalam rangka lawatan ke negara ini berharap kita akan sentiasa beristiqamah dalam kempimpinan dan memberikan keadilan kepada seluruh rakyat yang ada di Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

Begitulah hebatnya pandangan ulamak dan cendikiawan Islam yang pernah melawat negara ini di mana mereka secara jujur melahirkan kekaguman terhadap kempimpinan negara dan mengiktiraf usaha-usaha yang dilakukan bagi memartabatkan syiar Allah.

Bagaimanapun, atas kepentingan politik dan fahaman sempit, masih ada segelintir rakyat di negara ini yang masih lagi menghentam kerajaan dan sesetengahnya pula sanggup melemparkan tuduhan bahawa negara kita bukan negara Islam.

Sewaktu berucap dalam majlis-majlis anjuran parti pembangkang, mereka mengemukakan pelbagai pandangan bagi menidakkan usaha-usaha yang dilakukan pemimpin kerajaan untuk memartabatkan agama Islam.

Bagi mereka hanya parti mereka yang berjuang menegakkan Islam sedangkan apa yang dilakukan kerajaan sekarang ini bukan Islamik.

Jika kita berfikir secara logik, ulamak dan cendikiawan Islam dari negara lain tidak akan memuji kepimpinan negara ini sekarang jika apa yang mereka lakukan tidak Islamik atau bercanggah dengan tuntutan agama.

Apa pula kepentingan ulamak luar negara untuk memuji pemimpin negara kita jika benar ia tidak Islamik ?.

Inilah masanya untuk rakyat kita berfikir secara waras – usah biarkan pemikiran anda dibelenggu dengan unsur-unsur luar yang berniat jahat terhadap kepimpinan negara ini dan negeri Terengganu.



188 pelajar mohon ikuti jurusan perubatan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seramai 188 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu yang mendapat kelulusan cemerlang, memohon mengikuti kursus perubatan di luar negara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata permohonan tersebut akan diproses secepat mungkin dan mereka yang layak akan dihantar ke luar negara bagi menyambung pelajaran mereka di bidang perubatan.
“Kita harap pada tahun ini, kuota untuk menghantar 150 pelajar mengikuti pengajian di bidang perubatan dapat dipenuhi kerana ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar lepasan SPM,” katanya ketika berucap pada majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah, Kemasek, baru-baru ini.

Seramai 405 pelajar di Terengganu mendapat kelulusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 dan mereka telah diberi hadiah wang tunai RM500 seorang, sebagai ganjaran kejayaan mereka meraih keputusan cemerlang.

Ganjaran tersebut merupakan insentif kepada para pelajar yang telah mengharumkan nama sekolah dan negeri ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pada tahun lalu kerajaan negeri hanya menghantar lebih 100 orang pelajar lepasan SPM 2009 ke luar negara bagi mengikuti pengajian di bidang perubatan kerana bilangan yang memohon kurang daripada kuota yang ditetapkan.

Kerajaan negeri menetapkan 150 pelajar cemerlang akan dihantar mengikuti pengajian di bidang perubatan di tiga negara iaitu Mesir, Russia dan Indonesia.

“Bagaimanapun, disebabkan perkembangan terbaru di Mesir (yang berlaku pergolakan disebabkan tentengan rakyat terhadap Presiden Hosni Mubarak), kita mungkin akan menghantar lebih ramai pelajar ke Russia,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus kunjungi wartawan sambilan Bernama

Oleh: Aida Abd Rahman


Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri mengunjungi wartawan sambilan Bernama, Ibrahim Abu Bakar. Foto: Zul CW Putra

Sejak sebulan terlantar sakit dan tidak mampu bekerja seperti biasa akibat penyakit gout, wartawan sambilan Bernama, Ibrahim Abu Bakar, 68, ceria apabila dikunjungi Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri, di rumahnya di Kampung Ladang, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Encik Ayob Mamat dan 15 rakan media cetak serta elektronik daripada pelbagai agensi di Terengganu.

Dato’ Mohd Nasir menyampaikan sumbangan peribadi dan cenderahati kepada Ibrahim. Beliau turut berjanji untuk menyediakan seunit laptop kepada Ibrahim dalam tempoh terdekat.

Kawat turut menyampaikan hamper serta sumbangan wang tunai bagi meringankan bebanannya yang kini tiada sumber pendapatan tetap selepas diserang penyakit itu.

Ibrahim yang sudah 40 tahun berkhidmat dengan Bernama terharu menerima kunjungan pemimpin berkenaan serta rombongan rakan media yang lain.

Katanya, rakan-rakan media sentiasa bertanya khabar mengenai perkembangan kesihatannya dan sokongan mereka memberi semangat untuknya untuk pulih dan menjalankan tugas seperti sediakala.

“Terima kasih kepada Dato’ Nasir kerana sudi datang.Beliau pemimpin pertama yang sudi menjenguk saya sejak tidak mampu bekerja dan hanya berehat di rumah sebulan lalu.

“Saya juga bersyukur kerana beliau mahu menghadiahkan laptop untuk kegunaan saya melakukan tugas dan menaip berita dari rumah. Sokongan semua pihak amat saya hargai termasuk rakan ahli Kawat yang sentiasa menjaga kebajikan ahli,” katanya yang kini dijaga sepenuhnya isteri, Zainun Zakaria, 57 dan empat anak berusia 20 hingga 30 tahun yang turut tinggal bersamanya.

Menurut Ibrahim, dia berhasrat untuk meneruskan pekerjaan seperti biasa selepas ini memandangkan kesihatannya semakin pulih selepas menjalani beberapa sesi rawatan di Klinik Pakar Bukit Payong dan mengambil ubat-ubatan yang dinasihatk oleh pakar perubatan.

Sebelum ini, Ibrahim pernah tidak bekerja hampir setahun akibat penyakit yang sama kira-kira-kira tujuh tahun lalu dan sejak itu juga, kesihatannya sentiasa terjejas.