Halaman

27 April 2011

Penjawat awam diminta bersama MB capai objektif “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”

Oleh: Kamarudin Mat Akib



YB Dato' Haji Mazlan Ngah

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Haji Mazlan Ngah, mengajak jentera pentadbiran negeri, terutama penjawat awam untuk bersama-sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mencapai objektif dan matlamat “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Sehubungan itu, beliau meminta mereka memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat seperti petikan ucapan Menteri Besar sempena Majlis Perjumpaan Menteri Besar dengan kakitangan awam negeri pada 17 April 2008 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman.

Dato Haji Mazlan mengimbas semula ucapan Menteri Besar yang berbunyi “Seperti yang saya selalu sebutkan, apa juga yang kita (kakitangan awam) lakukan, akhirnya hendaklah dikembalikan kepada rakyat. Kita hendak merakyatkan perkhidmatan kita, kita hendak merakyatkan apa juga pembangunan yang kita lakukan.”.

Dato’ Haji Mazlan berkata, kecemerlangan penjawat awam negeri Terengganu dinilai dan diberi penganugerahan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan yang telah mereka berikan.

“Berbagai-bagai penganugerahan telah diberikan oleh kerajaan sepetrti mengerjakan haji dan umrah kepada penjawat awam, lawatan ke luar negara, kursus di luar negara dan kenaikan pangkat,” ujarnya ketika berucap pada majlis Pelancaran Buku Tiga Tahun Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan dan Perhimpunan Bulanan Wisma Darul Iman hari ini .

Katanya, kewibawaan Menteri Besar dalam menerajui jentera pentadbiran negeri dijelaskan dengan nyata melalui peruibahan-perubahan yang didorong oleh beliau.

“Melangkah ke hadapan, YAB Dato Seri Haji Ahmad Said membawa bersama-sama beliau harapan besar sambil menggalas impian untuk mentransformasi Negeri Terengganu sebagai sebuah negeri yang terus disegani dalam pelbagai bidang.

“Oleh itu, marilah kita semua penjawat awam di Negeri Terengganu ini berganding bahu bekerjasama bagi merealisasikan impian dan cita-cita YAB memenuhi keperluan rakyat,” katanya.




Sektor Perkhidmatan Awam Terjamin- Menteri Besar


YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said menunjukkan kandungan buku yang mendokumentasi 3 Tahun Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said menyifatkan sektor perkhidmatan awam pada hari ini lebih terjamin dan meyakinkan setelah melalui pelbagai tranformasi dan dibantu oleh dasar-dasar kerajaan yang lebih baik terhadap sektor berkenaan.

Selain gaji bulanan yang setimpal dan berbagai-bagai kemudahan serta pengiktirafan, kakitangan perkhidmatan awam juga diberikan bonus, anugerah perkhidmatan cemerlang termasuk secara bulanan sebagaimana juga di sektor swasta.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di majlis pelancaran buku tiga tahun Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Bulanan Kakitangan Peringkat Wisma Darul Iman, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman pagi ini (27 April).


Antara pegawai dan kakitangan yang hadir.

Hadir sama Setiasuaha Kerajaan Negeri, Dato'Haji Mazlan Ngah, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan bersama-sama seluruh pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam di Wisma Darul Iman.

Katanya, beliau melihat persaingan sihat berlaku dalam perkhidmatan awam, masing-masing mahu menawarkan perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan negara.

"Di antara orang politik yang membuat dasar dengan pegawai serta kakitangan perkhidmatan awam yang melaksanakan dasar-dasar sebenarnya berpisah tiada, mereka perlu saling bekerjasama," katanya.


Jurukamera Ukom, Abdul Rahim Daud antara penerima anugerah cemerlang bulanan yang disampaikan oleh Menteri Besar.

Beliau yakin dan percaya, di antara kedua pihak itu saling berkongsi pengalaman dan bertukar pendapat bagi memastikan perkhidmatan yang terbaik kerajaan kepada rakyat.

Dato' Seri Ahmad menggesa supaya kakitangan perkhidmatan awam menjalankan tugas dengan amanah dan jujur serta memenuhi tuntutan rakyat, khususnya berteraskan konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

Dalam majlis itu, seramai 15 orang kakitangan awam yang bertugas di Wisma Darul Iman menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Bulanan, iaitu lima orang bagi setiap bulan (Januari, Februari dan Mac) berupa wang tunai RM500, jam tangan dan sijil.


Kakitangan wanita yang hadir.


Oleh: Ruslan Rahman

26 April 2011

Juadah istimewa untuk PM dari Bukit Wan

Oleh :Esah Abdullah


Pihak UDM telah menjalankan kajian potensi kegunaan ubi gadong.- Gambar Fail.

Pelbagai jenis kuih tradisional berasaskan ubi gadong akan menjadi ‘juadah istimewa’ sebagai hidangan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri Datin Sri Rosmah Mansor sempena lawatan sehari pemimpin nombor satu negara itu ke Terengganu Sabtu ini.

Tanaman yang kian terpinggir itu mula diuar-uarkan dua tahun lalu oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, malah beliau pernah mencetuskan idea untuk menjadikannya sebagai makanan rasmi dalam majlis kerajaan negeri.

Kesukaran memperolehi ubi gadong serta teknik pemprosesan yang mengambil masa lama sebelum dapat menghasilkan pelbagai menu kuih-muih antara faktor makanan berasaskan ubi gadong sukar ditemui masyarakat umum dan terbatas sekali.

Hakikatnya, bagi mendapatkan bahan mentah atau pokok berkenaan tidaklah begitu sukar kerana ia lazimnya tumbuh melata sama ada di kebun buah-buahan atau di belakang rumah di sesetengah kampung, terutama di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit. Malah, pokok itu tidak perlu ditanam sebagaimana spesies ubi yang lain seperti ubi kayu dan keledek.

Bagi Hajah Faridah Abdul Ghani, 52 dari Kampung Bukit Wan, begitu bangga dan terharu kerana diberi tanggung jawab menyiapkan juadah istimewa berkenaan kepada pemimpin nombor satu negara.

Katanya, walaupun proses menghasilkan kuih-muih boleh mengambil masa sehingga seminggu yang dimulai dengan kerja mengali, mengupas kulit dan menghiris nipis, diikuti merendamnya dalam bekas khas bercampur asam keping dan garam (dua malam) sebelum memindahkannya ke proses rendaman kedua dengan air yang mengalir selama dua hari dua malam serta perlu membilasnya dua kali sehari.

“Setelah melalui semua proses ini barulah ubi gadong ini selamat dimakan dan boleh menghasilkan pelbagai jenis kuih tradisional seperti puteri mandi, onde-onde, lok lik dan sebagainya,” kata Hajah Faridah.

Menurutnya, jika proses menghasilkan makanan tidak dilakukan dengan bersih dan menggunakan kaedah yang betul, kesannya mungkin timbul kepada sesiapa yang memakannya, seperti pengalaman Menteri Besar yang pernah mabuk gadong ketika zaman persekolahan beliau dulu.




Sedia renjer untuk keselamatan pelancong

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan menempatkan 40 renjer atau anggota keselamatan di tiga pulau terkenal di Terengganu sebagai langkah menjaga keselamatan serta mengelak sebarang kemungkinan berlaku terhadap pulau dan pelancong .

Anggota terbabit yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu akan ditugaskan secara bergilir menjaga keselamatan pelancong yang berada di Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah bermula Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Datuk Haji Rahin Mohd Said, berkata langkah itu cukup penting bagi mengelak berlaku kejadian yang tidak diingini, termasuk lemas, bot terbakar dan kecurian.

Katanya, pihak berkaitan diarahkan menampal label amaran dan papan peraturan di kawasan tertentu bagi memudahkan pelancong membuat rujukan selain mengetahui kawasan yang selamat untuk mandi atau menganjurkan pelbagai aktiviti lain.

“Tahap keselamatan di tiga pulau terpilih ini masih lagi di bawah kawalan dan perubahan cuaca yang tidak menentu pada tahun ini juga dapat diselia dengan sempurna selepas mendapat kerjasama Jabatan Taman Laut Malaysia dan Jabatan Marin,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (26 April)

Datuk Rahin turut memberitahu kerajaan negeri melalui Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu mengambil langkah memperkenalkan keunikan budaya dan destinasi Terengganu kepada pelancong yang melawat Menara Kuala Lumpur (KL Tower) pada Jun ini.

“Pihak kami percaya pendekatan yang dilaksanakan ini dapat menambat hati sebahagian pelancong KL Tower untuk berkunjung ke Terengganu,” katanya.




Terima kasih PM sudi ziarahi kami....

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


Pak Cik Lua dan anaknya.

Pak Cik Lua Peng Ching, 59 tahun dan keluarga adalah warga Cina yang tinggal di Pengkalan Arang, Kuala Nerus yang tidak sabar menunggu ketibaan YAB Dato' Sri Mohd.Najib Tun Razak, Perdana Menteri ke rumahnya pada Jumaat ini (30 April).

Beliau yang tidak bekerja kerana masalah kesihatan mempunyai empat orang anak dan dua darinya adalah kurang upaya (OKU). Isterinya bekerja di sebuah restoran di Kuala Terengganu.


Rumah warga Cina yang akan dilawati PM di Pengkalan Arang

Ketika ditemui Teganukita di rumahnya, beliau melahirkan rasa bangga kerana mempunyai seorang pemimpin seperti YAB Dato' Sri Najib yang sanggup datang untuk menziarahi dia dan keluarga di kampung yang majoriti penduduknya Melayu itu.

Dalam program ziarah rumah kenangan abadi, Perdana Menteri akan juga ke rumah Puan Chik Mamat, Puan Aminah Binti Abdullah dan warga emas, Puan Puteh Haji Yaacob.


Gambar: Harith


Premis kerajaan dan swasta perlu Sijil Perakuan Bomba

Oleh: Esah Abdullah



Terdapat 106 buah premis di negeri ini perlu memiliki Sijil Perakuan Bomba di mana 31 buah premis melibatkan bangunan kerajaan manakala selebihnya bangunan swasta.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Terengganu, Encik Md Salleh Sarbini, berkata daripada jumlah itu, 58 buah premis telah mempunyai Sijil Perakuan (FC) iaitu lima bangunan kerajaan dan 53 bangunan swasta manakala selebihnya masih belum ada FC.

“Setakat ini JBP telah membawa satu kes ke mahkamah atas kesalahan gagal mematuhi notis penghapus bahaya kebakaran,” katanya di majlis perasmian Seminar Keselamatan Kebakaran di Ri-Yaz Heritage, Pulau Duyung, Kuala Terengganu semalam.

Seminar berkenaan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Haji Amer Yusof serta 500 peserta seminar terdiri daripada badan-badan profesional, kakitangan kerajaan, swasta, pemilik bangunan, kontraktor pembinaan dan sebagainya.

Katanya, menjadi kesalahan mana-mana premis atau bangunan yang gagal mengadakan kelengkapan menentang kebakaran atau pemasangan alat keselamatan kebakaran yang dikehendaki undang-undang, tangga terlindung tidak mencukupi dan sebagainya.

“Usaha ke arah pencegahan kebakaran yang dijalankan oleh pihak JBP perlu dipandang serius setiap lapisan masyarakat dan mengambil peranan bersama mencegah berlakunya insiden kebakaran yang mendatangkan banyak kerugian,” katanya.

Menurutnya, JBP sentiasa bersedia memberi khidmat nasihat serta pemantauan ke arah melahirkan masyarakat yang mengamalkan budaya keselamatan kebakaran sebagai satu amalan hidup.




Pentadbiran negeri dirombak bulan depan

Oleh: Aida Abd Rahman


YB Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Seramai 39 pegawai tadbir negeri terlibat dalam rombakan pentadbiran Kerajaan Terengganu yang berkuatkuasa mulai 1 Mei ini

Arahan pertukaran tersebut ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Mazlan Ngah yang dikeluarkan Pejabat SUK mulai semalam.

Mengikut surat arahan pertukaran jawatan yang diedarkan kepada semua ketua jabatan kerajaan negeri, Pegawai Daerah Besut, Haji Tuan Mamat Tuan Ngah, dilantik sebagai Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu.
Manakala Pengarah PTG, Haji Osman Muda, dilantik sebagai Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).menggantikan dato’ Haji Zakaria Awang yang bersara wajib.

Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) , Encik A Rahim Jusoh dilantik sebagai Pegawai Daerah Besut manakala Haji Omar Mat (Ketua Penolong Pentadbir Tanah, Besut) ditukarkan sebagai Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kuala Terengganu menggantikan Haji Mat Arsad Mohamed yang dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama (Khidmat Pengurusan).

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Integrity And Strategic Institute (T-ISSI), Encik Mohd Elias Nik dilantik sebagai Timbalan Pengarah PTG (Pengurusan) manakala Encik Wan Ismail Sahaimi Wan Omar (Ketua Penolong Pentadbir Hulu Terengganu) dilantik sebagai Ketua Penolong Pentadbir Tanah Besut.

Ketua Penolong Pentadbir Tanah Marang, Haji Jahani Ismail, dilantik sebagai Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menggantikan Encik Wan Mohd Anuar Wan Endut, yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah PTG (Pendaftaran).

Pegawai Jawatan Kumpulan pejabat SUK, Encik Wan Khalid Wan Jusoh dilantik mengisi kekosongan jawatan Penolong Pengarah Jabatan Bekalan Air Negeri Terengganu.

Penolong Kanan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan Organisasi) Encik Azhar Jusoh dilantik Setiausaha DUN manakala Encik Zulkafeli Omar bertukar sebagai Ketua Penolong Pentadbir Tanah Hulu Terengganu daripada jawatan Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) Kerajaan (Korporat).

Encik Mohd Razif yang kini memegang Ketua Penolong Pegawai Daerah Setiu ditukarkan kepada Penolong Kanan Setiausaha Kerajaan (Perkhidmatan).

Haji Anuar Awang yang kini Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pengurusan MBKT bertukar ke Ketua Penolong Pentadbir Tanah Marang, manakala Encik Mohd Daud (Ketua Penolong Pegawai Daerah Marang) bertukar sebagai Ketua Pegawai Operasi T-ISSI dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Encik Ariffin Abdullah pula bertukar sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah Marang.



MBNT sasar wujud 1,000 pertubuhan belia

Oleh: Suriati Ali



Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) mensasarkan untuk mewujudkan 1,000 pertubuhan belia di seluruh negeri ini pada tahun ini.

Pengerusinya, Encik Mat Yusof Mat Ali, berkata ia akan digerakkan melalui pendekatan satu kampung satu pertubuhan belia dengan menarik penglibatan golongan muda dalam kepimpinan dan kegiatan sukarelawan.

“MBNT akan turut membantu memperkasakan semula sebahagian daripada 324 pertubuhan sedia ada selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai generasi muda aktif berpersatuan.

“Pertubuhan yang diwujudkan kelak bakal menaungi warga belia yang berumur antara 15 hingga 40 tahun di setiap kampung dengan pelbagai pengisian yang mampu meningkatkan potensi diri mereka.

“Penubuhan ini penting bagi membolehkan peruntukan daripada kerajaan mahupun pihak swasta dapat disalurkan terus kepada golongan sasar bagi menjayakan pelbagai aktiviti yang dianjurkan,” katanya.

Encik Mat Yusof berkata, Terengganu mempunyai beberapa pertubuhan yang boleh dijadikan model kepada pemimpin belia dalam mencapai keberkesanan kepimpinan agar setiap badan yang diasaskan mempunyai hala tuju yang jelas.

“Sebagai contoh, pertubuhan belia MAYC Teluk Ketapang, Seberang Takir boleh dijadikan garis panduan dalam kepimpinan belia kerana badan itu telah menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Perdana Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan sempena Hari Belia.

“Persatuan Rangkaian Pemuda Pemudi Rawai (RAPERA), Marang yang telah beberapa kali mendapat anugerah di peringkat negeri mahupun kebangsaan iaitu pada 1998, 2005 dan 2008 juga perlu dicontohi,” ujarnya.



Semak kemasukan ke tingkatan enam melalui ‘online’

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mahu memasuki tingkatan enam di sekolah-sekolah menengah seluruh negeri boleh menyemak keputusan sama ada mereka layak atau sebaliknya, melalui ‘online’, mulai 2 Mei ini.

Penolong Pengarah Pengurusan Tingkatan Enam Jabatan Pelajaran Negeri, Encik Hamid Yahya, berkata pelajar yang mahu berbuat demikian boleh melayari laman web http://www.moe.gov.my

Beliau berkata, mereka yang layak dikehendaki memulakan persekolahan pada 9 Mei depan.

Tahun ini, JPN tidak lagi mengeluarkan surat tawaran kemasukan ke tingkatan 6 seperti yang dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini.



Jarak dekat Pulau Kapas, daratan beri kelebihan tingkat sektor pelancongan

Oleh: Aida Abd Rahman



Ciri geografi Pulau Kapas, Marang yang terletak berhampiran daratan dengan jarak hanya 6.5 kilometer memberi kelebihan kepada Terengganu bagi menganjurkan acara sukan ekstrem bertaraf dunia sebagai platform menarik kedatangan pelawat dalam dan luar negara ke negeri ini.

Penganjuran Kapas-Marang International Swimathon 2011 antara aktiviti teras dalam kalendar pelancongan negeri yang masuk edisi ke-11 sejak 1996, menjadikan pulau terkenal dalam peta pelancongan dunia itu sebagai destinasi pilihan terawal di Pantai Timur.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata penganjuran kejohanan antarabangsa itu menjadi alternatif terbaik bagi memperkenalkan destinasi pulau peranginan terunggul di negeri ini, pesisiran pantai yang landai dan bersih serta Pantai Peranginan Kelulut kepada pelawat.

“Kejohanan itu menjadi antara acara berteraskan destinasi bagi memperkenalkan destinasi dengan kaedah penganjuran acara yang menarik lebih ramai pelancong bersempena `Visit Terengganu’.

“Ia sekaligus menjenamakan destinasi di Terengganu sebagai lokasi penganjuran sukan rekreasi dan ekstrem bertaraf dunia serta produk eko pelancongan negeri seperti pulau dan pantai yang tidak mungkin dapat ditemui di mana-mana negeri lain,” katanya.

Sebanyak 20 peratus daripada 255 peserta yang berdaftar pada kejohanan kali ini melibatkan peserta asing termasuk dari Bosnia, Jerman, Hong Kong, Afrika Selatan, Jepun, Rusia, Singapura, Afrika, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Daripada jumlah itu, 191 peserta daripada 10 kategori yang dipertandingkan berjaya mengharungi dan menamatkan perlumbaan sejauh 6.5 kilometer dari Pulau Kapas menuju ke Pantai Peranginan Kelulut dengan baik tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Sementara itu, mulai tahun depan, kerajaan negeri berhasrat menambah disiplin pertandingan Kapas-Marang International Swimathon dengan acara larian sejauh kira-kira 50 kilometer, bermula dari Pantai Rantau Abang ke Pantai Kelulut, Marang.



Datuk Abdul Rahin berkata, acara baru itu bertujuan memperkenal keindahan pantai Terengganu serta kelebihan negeri ini yang mempunyai pantai terpanjang di Malaysia, iaitu sepanjang 244 kilometer.

Katanya, kejohanan yang melibatkan dua acara yang dijalankan pada hari yang sama itu bakal menawarkan hadiah yang meningkat sekali ganda, berbanding kejohanan pada tahun ini yang mengumpul hadiah keseluruhan RM43,900.

Cabaran Kapas-Marang International Swimathon 2011 merupakan acara tahunan yang dianjurkan kerajaan Terengganu dan dikendalikan oleh Trisports Events Management Sdn. Bhd.