Halaman

12 May 2011

Kerajaan belanja RM1.3 juta hantar balik pelajar ke Mesir

Oleh: Esah Abdullah



Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini diberitahu, sejumlah RM1,365,835 telah dibelanjakan untuk membelian tiket kapal terbang dalam urusan penghantaran balik pelajar dari negeri ini ke Mesir baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri , YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, seramai 485 pelajar di bawah tajaan Yayasan Terengganu (YT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta persendirian terbabit.

“Jumlah berkenaan termasuklah 271 pelajar tajaan YT manakala 214 pelajar di bawah Maidam dan persendirian,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Dato’ Haji Harun Taib (Pas- Manir).

Namun begitu katanya, kerajaan negeri tidak terlibat dengan operasi membawa pulang pelajar-pelajar ke tanah air termasuk pelajar negeri ini kerana semua kos berkenaan dibiayai Kerajaan Pusat.

Ketika menjawab soalan tambahan YB Haji Ramlan Ali (BN-Jabi) yang ingin tahu mengenai pelajar persendirian yang dibiayai oleh Maidam, berapa ramai anak penyokong Pas dan berapa pula anak penyokong Umno.

YB Haji Ahmad Razif menegaskan, dalam soal pendidikan kerajaan negeri tidak pernah membangkitkan perkara itu dan tidak kira anak siapa asalkan rakyat tempatan, bantuan diberi seperti yang dilaksanakan hari ini.

Katanya, semua pelajar di bawah tajaan YT akan melalui proses temuduga, berasaskan kelayakan keputusan peperiksaan masing-masing dan tidak ada keistimewaan yang diberi selain dari kelayakan akademik mereka.





Kerajaan belanja RM9.228 juta bina Zoo Bukit Takal.

Oleh: Esah Abdullah



Kerajaan negeri telah membelanjakan RM9.228 juta bagi pembinaan Zoo Bukit Takal Kemaman dan sebanyak RM2.88 juta bagi belanja pengurusan zoo berkenaan sepanjang 2008 hingga 2011.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata demikian ketika menjawab soalan lisan, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Buruk) di sidang Dewan Undangan Negeri pagi ini.

Katanya, binatang yang terdapat di zoo berkenaan setakat ini ialah mamalia, reptilia, burung dan ikan. Manakala kos pembiayaan binatang berkenaan sekitar RM40,000 sebulan.

Walau bagaimana pun Menteri Besar memerlukan notis bagi menjawab soalan tambahan daripada Dato’ Haji Harun Taib (Pas-Manir) yang ingin tahu jumlah kematian binatang peliharaan di zoo berkenaan.

Haji Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) kemudian telah mengamatkan dewan apabila bertanya mengenai dua ekor kambing yang dihadiahkan oleh Dato’ Haji Harun Taib (Pas Manir) sama ada masih hidup atau sudah mati.

Dalam nada berseloroh Menteri Besar berkata, kedua-dua ekor kambing berkenaan ( sebenarnya bukan hadiah tapi dibeli) sudah mati di baham harimau kumbang.




Tilawah manifestasi martabat kalam Allah

Oleh: Aida Abd Rahman


Ketamadunan dan kegemilangan peradaban Islam bermula dengan kelahiran para ilmuwan dan cendekiawan Islam yang menguasai pelbagai cabang ilmu sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran.

Penganjuran majlis tilawah al-Quran bukan sekadar untuk memperdengarkan kemerduan atau kelunakan suara peserta pertandingan semata-mata, tetapi keutamaannya adalah penghayatan dan pengertian terhadap ayat-ayat dalam sirah junjungan itu sendiri.

Pemahaman serta penghayatan mendalam terhadap ayat al-Quran itu diharap dapat memberi inspirasi dan galakan untuk semua umat lebih berusaha mendekatkan diri pada Ilahi, seterusnya menjadi pendorong memperbaiki mutu pembacaannya.

Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah, berkata majlis tilawah al-Quran yang diadakan saban tahun merupakan manifestasi ke arah memartabatkan kalam Allah s.w.t itu sebagai panduan dan petunjuk sepanjang zaman.

”Al-Quran adalah mukjizat yang tidak ternilai hikmahnya dan dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w untuk disampaikan kepada umat manusia seluruhnya.

”Malah sejarah ketamadunan dan kegemilangan peradaban Islam bermula dengan kelahiran para ilmuwan dan cendekiawan Islam yang menguasai pelbagai cabang ilmu sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran,” katanya ketika berucap di Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu kali ke-54 tahun 1432H/2011M, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Sai, Yang DiPertua Dewan Undangan negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd Rozali Salleh.

Majlis penutup tilawah serta penyampaian hadiah dan cenderahati kepada peserta bakal disempurnakan Yang Teramat Mulia, Tengku Sri Laksamana Raja pada malam ini bermula jam 8.30 malam.

Dato’ Mazlan berkata, budaya membaca menghafaz, menghayati dan mengambil iktibar daripada isi kandungan al-Quran serta pengamalannya perlu disemarakkan lagi dan dijadikan agenda utama dalam pembentukan `khaira ummah’.

Katanya, program tilawah ini diharapkan dapat menarik lebih ramai remaja untuk sama-sama menyertainya dan seterusnya akan meningkatkan kadar celik al-Quran di kalangan masyarakat Islam di negara ini dan Terengganu khususnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sentiasa memberi tumpuan dan sokongan kepada pelaksanaan pendekatan Islam dalam pelbagai aspek keilmuan yang menjadi teras modal insan sesuai dengan aspirasi kerajaan dalam melahirkan `1 Malaysia 1 Ummah’, iaitu tema yang dipilih untuk tilawah tahun ini.





11 May 2011

Pas tidak tahu jaga perasaan orang

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said menyelar sikap pemimpin dan penyokong Pas yang tidak tahu menjaga hati dan perasaan orang lain.

Beliau berkata, Pas sentiasa "mengacau" setiap kali UMNO mengadakan majlis atau program dengan memasang bendera parti itu di kawasan berkenaan diadakan.

Katanya, perkara ini turut berlaku sewaktu Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak melawat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal dan Manir baru-baru ini.

Beliau berkata, orang Pas turut memasang bendera parti itu ketika Perdana Menteri melawat dua kawasan tersebut.

"Selama ini kita (orang UMNO) tidak pernah kacau orang Pas",katanya di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.




Kelas khas al- Quran kembalikan kegemilangan qari, qariah Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Pencapaian qari dan qariah Terengganu kebelakangan ini yang kurang memberangsangkan menyebabkan kerajaan negeri bercadang mewujudkan kelas khas al-Quran secara percuma bagi mempertingkatkan mutu bacaan mereka mulai bulan depan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata langkah itu bagi mengembalikan kegemilangan yang pernah dihasilkan qari dan qariah terdahulu, terutama kejayaan, Haji Daud Che Man dan Dato’ Hajah Rogayah Sulong di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Kita buat keputusan buka kelas khas kepada qari dan qariah supaya membetulkan tajwid dan taranum masing-masing dengan dibimbing Tuan Haji Daud Che Man dan Hajah Rogayah Sulong ini.

“Sebab itu kita minta dibuka satu kelas khas kepada qari dan qariah yang bertanding di peringkat daerah dan negeri pada masa depan,” katanya selepas merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2011, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Kuala Terengganu, malam tadi.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata kelas khas yang dibuka khusus untuk anak Terengganu tidak terhad kepada peringkat umur bagi memastikan penguasaan mereka dalam penyampaian al-Quran dengan kaedah yang betul.

Sementara itu, pertandingan tilawah al-Quran kali ini disertai 16 qari dan qariah menawarkan hadiah wang tunai RM7,000 kepada johan qari dan qariah, di samping piala pusingan, sijil penyertaan dan tambang menunaikan haji.

Naib Johan pula akan menerima wang tunai RM5,000, piala iringan dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga akan menerima RM4,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Lima peserta memperdengarkan bacaan masing-masing malam tadi dan pertandingan yang bersambung malam ini akan diteruskan lagi dengan 11 peserta.

Majlis penutup tilawah serta penyampaian hadiah dan cenderahati kepada peserta bakal disempurnakan Yang Teramat Mulia, Tengku Sri Laksamana Raja pada malam esok ( 12 Mei) bermula jam 8.30 malam.





Pas Kecewakan Golongan Muda

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Pas mengecewakan golongan muda apabila sebahagian besar tanah bagi kegunaan untuk bersukan dan riadah digunakan oleh kerajaan Pas untuk projek pembangunan.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad bin Said, berkata banyak tanah di sekitar bandar ini digunakan oleh Pas untuk projek pembangunan sedangkan asalnya digunakan oleh golongan muda untuk beriadah.

Beliau berkata antara kawasan yang menjadi "mangsa" Pas ialah di Pulau Kambing, Tok Adis dan Bukit Bayas.

Selain itu, katanya Pas mengutamakan kroni-kroni dalam pemberian projek semasa parti itu berkuasa.



Kerajaan Tidak Menzalimi Rakyat

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

"Kerajaan tidak pernah menzalimi rakyat, kerajaan tidak pernah membohongi rakyat", begitu luahan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said di sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Beliau berkata, istilah "rakus" dan "zalim" berhubung isu pengambilan balik tanah di kawasan Ladang sengaja ditimbulkan oleh Adun Pas yang keliru dengan perkara sebenar.

Menteri Besar menjelaskan tindakan kerajaan negeri mengambil balik tanah di kawasan Ladang sebenarnya bertujuan menjaga kepentingan hak Orang Melayu.

Beliau berkata, kerajaan negei mengambil balik tanah Orang Melayu di kawasan itu bagi memastikan mereka masih boleh di kawasan bandar dan tidak terpinggir dari arus pembangunan perdana.

"Kerajaan negeri menetapkan dasar 50 peratus daripada premis perniagaan yang akan dibina di kawasan Ladang akan dipegang oleh Tabung Amanah Warisan".

"Manakala 30 peratus lagi akan dijual kepada Orang Melayu. Ini bermakna pegangan Orang Melayu di kawasan itu berjumlah 80 peratus", ujar beliau.



Kerajaan bina dua sekolah IMTIAZ baru

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Kerajaan negeri akan mewujudkan sebuah sekolah IMTIAZ di daerah Marang pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pihaknya sudah mengenal pasti tapak yang sesuai bagi tujuan tersebut di Wakaf Tapai.

“Sebuah lagi sekolah IMTIAZ akan diwujudkan di Kemaman pada tahun ini”, katanya di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini. Beliau berkata, kerajaan negeri memang berhasrat untuk mewujudkan sekolah IMTIAZ di setiap daerah dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, Kementerian Pelajaran Malaysia akan membina tiga buah sekolah agama melalui Rancangan Malaysia ke 10 (RMK10).



Pas tidak mampu ganti UMNO

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Dua rangkap lagu nyanyian penyanyi veteran R. Azmi menghangatkan sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad; menyanyikan rangkap yang berbunyi “Terkenang kemasa dulu, hatiku merasa pilu” yang merujuk kepada kezaliman yang dilakukan kerajaan Pas semasa memerintah Terengganu pada 1999.

Beliau berkata, semasa memerintah Terengganu, Pas melakukan pelbagai kezaliman termasuk merampas kereta Exco, dan menutup kelas Tadika Kemas.

Tambah beliau, Pas tidak sepatutnya diberikan memerintah negeri ini dan slogan “PAS GANTI UMNO” tidak boleh mengaburi mata rakyat.

“Selagi Barisan Nasional dan UMNO ada di Terengganu, jangan mimpi PAS nak perintah negeri Terengganu”, katanya di sidang Dewan Undangan hari ini.



Program e-Kasih bantu rakyat miskin

Oleh: Suriati Ali

Seramai 7,722 penduduk termasuk 6,924 ibu tunggal dan selebihnya bapa tunggal di Terengganu dipantau Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) melalui program e-Kasih yang diwujudkan dua tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, YB Encik Yahya Khatib Mohamad, berkata beberapa proses tertentu dilaksanakan sebelum seseorang itu layak disenarai di bawah e-Kasih.

Antaranya termasuk seseorang individu itu perlu mengisi borang secara manual atau `on line’.

“Melalui borang itu, beberapa pihak berkaitan akan tampil membuat bancian bagi mengetahui sama ada pemohon benar-benar layak atau sebaliknya,” katanya ketika menjawab soalan YB Haji Abd Halim Jusoh (BN-Permaisuri).

Katanya, YPK mewujudkan pelbagai program, bantuan dan sokongan bagi meringankan beban golongan itu, terutama ibu tunggal agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih terjamin.

“Langkah itu bertujuan memastikan golongan berkenaan, khususnya mereka yang mempunyai anak masih bersekolah mampu menjalani kehidupan lebih berkualiti dan tidak tercicir daripada pelajaran.

“Di samping bantuan berbentuk kewangan, barangan, kursus kemahiran juga ditawarkan bagi membantu golongan berkenaan membuka perniagaan kecil-kecilan serta kemahiran menjahit pakaian dan sebagainya,” katanya