Halaman

12 May 2011

Kerajaan belanja RM1.3 juta hantar balik pelajar ke Mesir

Oleh: Esah Abdullah



Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini diberitahu, sejumlah RM1,365,835 telah dibelanjakan untuk membelian tiket kapal terbang dalam urusan penghantaran balik pelajar dari negeri ini ke Mesir baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri , YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, seramai 485 pelajar di bawah tajaan Yayasan Terengganu (YT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta persendirian terbabit.

“Jumlah berkenaan termasuklah 271 pelajar tajaan YT manakala 214 pelajar di bawah Maidam dan persendirian,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Dato’ Haji Harun Taib (Pas- Manir).

Namun begitu katanya, kerajaan negeri tidak terlibat dengan operasi membawa pulang pelajar-pelajar ke tanah air termasuk pelajar negeri ini kerana semua kos berkenaan dibiayai Kerajaan Pusat.

Ketika menjawab soalan tambahan YB Haji Ramlan Ali (BN-Jabi) yang ingin tahu mengenai pelajar persendirian yang dibiayai oleh Maidam, berapa ramai anak penyokong Pas dan berapa pula anak penyokong Umno.

YB Haji Ahmad Razif menegaskan, dalam soal pendidikan kerajaan negeri tidak pernah membangkitkan perkara itu dan tidak kira anak siapa asalkan rakyat tempatan, bantuan diberi seperti yang dilaksanakan hari ini.

Katanya, semua pelajar di bawah tajaan YT akan melalui proses temuduga, berasaskan kelayakan keputusan peperiksaan masing-masing dan tidak ada keistimewaan yang diberi selain dari kelayakan akademik mereka.