Halaman

13 May 2011

Umat Islam perlu bersatu padu

Oleh: Suriati Ali



Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Sri Laksamana Raja memberitahu realiti umat Islam kini amat menyedihkan berikutan asyik bersengketa, saling menjatuhkan antara satu sama lain, tiada ikatan ukhuwah yang kukuh, hilang rasa menghormati, budaya tuduh menuduh dan gemar mementingkan diri sendiri.

Katanya, Umat Islam dipandang hina kerana perpecahan dan keegoan ini yang menyaksikan satu persatu tamadun dan kerajaan di bawah pimpinan orang Islam hancur, contohnya apa yang berlaku di Mesir, Libya, Iraq dan banyak lagi Negara Islam berada di ambang kehancuran.

“Marilah kita bersatu padu, saling tegur menegur, sanggup berjuang menentang musuh Islam sama ada yang nyata atau tidak, demi menengakkan kalimah Allah di muka bumi ini, marilah kita berdoa supaya ianya tidak berlaku di bumi Malaysia.

“Sekiranya di bumi Malaysia dan Terengganu ini dilanda peperangan dan permusuhan, sudah tentu kita tidak akan hidup dalam aman damai,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Tilawah al-Quran peringkat negeri Terengganu, di Kompleks Stadium Negeri, Gong Badak Kuala Terengganu, malam tadi (12 Mei).

Dalam majlis itu, qari Ahmad Tirmizi Ali dari Dungun menjadi johan, Abdul Razak Mat Ripin dari Besut (kedua) dan Abu Bakar Deraman dari Hulu Terengganu memenangi tempat ketiga.

Manakala qariah pula, Nor Hidayah Abdul Rahman berasal dari Setiu diumum sebagai johan, Rafidah Omar dari Besut (kedua) dan Hajah Roziayati Mohd Ali dari Marang pula tempat ketiga.

Mereka yang berjaya menjadi johan dalam majlis tilawah yang bertemakan 1Malaysia 1Ummah itu, berjaya membawa pulang wang tunai RM7,000, pakej menunaikan haji, komputer riba, piala dan sijil penghargaan.

Manakala tempat kedua pula berjumlah RM5,000 dan ketiga berjumlah RM4,000.
Tengku Sri Laksamana Raja berkata, kitab suci al-quran sebagai salah satu mukjizat agung Rasulullah S.A.W mengangungi pelbagai rahsia dan khazanah ilmu yang paling unggul dan tertinggi di antara segala ilmu yang wujud di dunia hari ini.

Katanya, oleh itu, umat Islam hendaklah sentiasa mengkaji dan melakukan penyelidikan terhadap segala isi al-Quran kerana di dalamnya mengandungi segala bentuk ilmu yang amat berguna dan boleh mendekatkan lagi diri kita dengan pencipta kita yang Maha Agong.