Alasan warganegara yang genap bersusia 21 tahun tetapi belum mendaftar sebagai pemilih kerana alasan sibuk dengan urusan kerja, tidak ada masa, tidak sempat mendaftar atau kurang kesedaran mengenai tanggungjawab tersebut , tidak dapat diterima.
Apatah lagi sekarang ini pelbagai kemudahan telah disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada mereka yang layak untuk mendaftar sebagai pemilih, termasuk pendaftaran sepanjang tahun.
Berbanding dahulu, pendaftaran dibuka pada waktu tertentu dan dalam tempoh yang agak singkat, mungkin alasan sibuk dan tidak ada masa untuk mendaftar sebagai pemilih,masih boleh diterima.
Tetapi, sekarang ini alasan itu tidak dapat diterima kerana proses mendaftar sebagai pemilih bukan saja memerlukan masa yang singkat, tidak sampai 10 minit pun, tetapi juga boleh dibuat di pejabat pos.
Selain itu, SPR turut menyediakan kemudahan mendaftar sebagai pemilih di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai, terutama jika ada program yang melibatkan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Justeru itu, laporan Berita Harian hari ini yang menyebut alasan sibuk dengan urusan kerja, tidak sempat mendaftar dan kurang menyedari mereka layak menundi adalah sebab utama penduduk negara ini terus mengelak mendaftar sebagai pemilih, amat dikesali.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd Yusof, bekata mereka juga memberi pelbagai alasan lain yang tidak masuk akal bagi mengelak daripada menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara.
Teganukita menyeru kepada mereka yang layak untuk mengundi supaya mendaftar sebagai pemilih secepat mungkin agar mereka dapat mengundi pada pilihan raya umum akan datang.
Anda amat rugi jika tidak mendaftar sebagai pemilih kerana hak anda sebagai pengundi dinafikan jika anda tidak mendaftar dengan SPR.