Halaman

10 May 2011

Isu cadangan Keristian agama rasmi – ke mana hilang pemimpin Pas

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Pelbagai pihak, termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mengadakan tunjuk perasaan membantah isu cadangan pihak tertentu untuk menjadikan Keristian sebagai agama rasmi Persekutuan.

Mereka secara terang-terang menunjukkan rasa kurang senang serta tidak puas hati terhadap puak yang sengaja mahu membangkitkan kemarahan rakyat negara ini, khususnya di kalangan penganut Islam.

Terbaru, kira-kira 400 ahli Pertubuhan Kebajikan dakwah dan Islamiah Malaysia (Pekida) Kuala Terengganu, berarak ke balai polis Kuala Terengganu, sebelum satu laporan polis mengenai isu tersebut dibuat, sebagai tanda bantahan.

Mereka membawa pelbagai jenis sepanduk dan poster yang mengutuk dan membantah tindakan pihak tertentu membangkitkan isu sensitif berhubung cadangan menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara.

Selama ini sudah terang dan nyata dan semua pihak tahu bahawa Islam adalah agama rasmi negara ini di mana perkara itu dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman di mana-mana bahagian Persekutuan.

Bagaimanapun, tindakan pihak tertentu menimbulkan isu mahukan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan, telah menimbulkan kemarahan banyak pihak.

Dalam keghairahan pelbagai pihak menentang, timbul persoalan ke mana gerangannya para pemimpin Pas yang sebelum ini begitu lantang mendabik dada kononnya mereka pejuang Islam yang mahu menegakkan sebuah negara Islam.

Ketiadaan sebarang tindakan daripada Pas menimbulkan tanda tanya hinggakan ada orang yang menaikkan poster bertanya “Apa tindakan Tuan Guru”? yang pastinya ditujukan kepada Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, berhubung isu tersebut.

Apa tindakan Presiden Pas dan pemimpin parti itu dalam menangani isu ini?