Halaman

11 May 2011

Peruntukan Maidam baiki kerosakan kecil di masjid, surau

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bersedia membiayai kos membaiki kerosakan kecil yang berlaku di masjid dan surau kerajaan seluruh negeri ini sekiranya dana tabung di setiap rumah ibadat itu tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan itu .

YB Haji Khazan Che Mat (BN-Batu Rakit) berkata, jika dana tabung yang terkumpul di satu-satu masjid kurang daripada RM10,000, Maidam akan menyediakan peruntukan bagi membaiki kerosakan berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri berkata, kerosakan kecil yang sering berlaku di masjid dan surau melibatkan kerja-kerja menukar karpet baru dan menggantikan peralatan siaraya.

Katanya, kerajaan negeri juga akan menanggung kos membaiki kerosakan kecil yang berlaku di surau jika dana tabung yang terkumpul kurang daripada RM5,000.

“Kerja memulih dan membaiki kerosakan kecil di masjid dan surau seluruh negeri ini boleh dipohon melalui wakil rakyat, di mana peruntukan itu disediakan menerusi pembiayaan zakat Maidam,” katanya ketika sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.

YB Haji Khazan juga menafikan kenyataan YB Haji Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) mengenai tindakan kerajaan negeri yang memecat imam masjid negeri ini dengan sewenang-wenangnya sedangkan pemimpin rumah ibadat itu didapati masih tidak mencukupi ketika ini.

Beliau berkata, langkah itu wajar apabila imam yang dikenakan tindakan penggantungan atau pemecatan berkenaan didapati melakukan kesalahan dan tidak mengikut arahan yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan perkara itu tidak berkaitan dengan masalah mereka mencukupi atau tidak.

Katanya, setiap penjawat awam dan sesiapa sahaja yang didapati melakukan kesalahan tetap berdepan dengan hukuman yang sewajarnya mengikut pertimbangan majikan masing-masing.