Kerajaan telah membelanjakan RM2,550,000 bagi baik pulih dan ubah suai keseluruhan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang pertama kali diguna pada sidang kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Haji Za’abar Mohd Adib berkata, syarikat CRAR Construction Sdn Bhd. telah diberi tanggung jawab menyiapkan keseluruhan reka bentuk yang terdapat dalam dewan ini.
Datuk Haji Za’abar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan YB Haji Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) yang ingin tahu kos keseluruhan untuk baik pulih dan ubah suai DUN Terengganu dan nama syarikat yang berjaya dipilih untuk menjalankan kerja-kerja berkaitan.
Katanya, kerja baik pulih dan ubah suai dewan ini dilakukan selepas 25 tahun tidak berganti dan tetap mengekalkan ciri-ciri tradisional termasuk ukiran kayu yang menghiasi setiap ruang dewan.
“Kerajaan sedia mendengar dan meneliti semua cadangan yang membina untuk menambahbaikan kelengkapan dalam DUN yang berwajah baru ini termasuklah siaran langsung persidangan yang diberhentikan sementara,” katanya.
Katanya, dewan ini sudah berusia 30 tahun dan sudah sampai masanya ia perlu beri sedikit keselesaan kepada ahli yang semakin bertambah.
“Kerja-kerja pengubahsuaian telah dimulakan Januari lalu dan pengubahsuaian itu dikira perlu bagi memberi keselesaan kepada anggota dewan terutama di tempat duduk pegawai-pegawai kerajaan di bahagian belakang,” katanya.