Halaman

11 May 2011

HSNZ bakal jalani pembedahan jantung

Oleh: Suriati Ali

Pesakit jantung di Terengganu tidak perlu lagi menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur atau Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan apabila Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) turut menawarkan perkhidmatan itu dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. A. Rahman Mokhtar, berkata sehingga kini pihaknya masih menunggu kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membenarkan HSNZ melalui Unit Kardiologi (ICL) memulakan pembedahan jantung.

“Buat permulaan, doktor pakar kardiologi bersama beberapa pembantu sudah menerima beberapa pesakit yang ingin mendapatkan rawatan asas sejak dibuka Julai tahun lalu,” katanya ketika sesi pergulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) petang ini.

Tambahnya lagi, Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM22 juta bagi membuka pusat perubatan pakar harian dikenali sebagai `iHEAL’ bertempat di tingkat tujuh dan lapan Mid Valley, Kuala Lumpur.

“Pusat rawatan yang beroperasi pertengahan tahun lalu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk alat pemeriksaan menggunakan sinaran x-ray `Multi Slice CT Scan’ tercanggih yang mengandungi 640 slice berharga lebih RM8.4 juta.

“Pelbagai kemudahan kepakaran disediakan di pusat rawatan itu meliputi pergigian, jantung, neuro, strok, kanser payu dara, rawatan anti penuaan dan pembedahan plastik serta kolagen,” katanya.

Menurutnya, sebanyak RM22 juta diperuntukkan bagi membangunkan pusat rawatan itu dengan 60 peratus sahamnya dipegang oleh Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu.

“Pusat pakar di bawah satu bumbung itu dibangunkan bagi kemudahan orang ramai termasuk keperluan rakyat Terengganu sekiranya terdapat kes kritikal yang memerlukan rawatan pakar dan kemudahan di situ.

“Ramai pesakit terutama yang mendapat bantuan di bawah Tabung Penyakit Kronik sudah mendapatkan rawatan di pusat perubatan itu sejak ia beroperasi” katanya.