Halaman

12 May 2011

MHK Aquaculture hasil ketam kulit lembut

Oleh: Suriati Ali


Ternakan spesies ini hanya mengambil masa tiga hingga lima minggu saja untuk matang.

Mungkin masih ramai masyarakat Terengganu belum mengenali atau mencuba sebarang masakan daripada ketam nipah berkulit lembut.

Jika berminat untuk berbuat demikian, mereka boleh mendapatkan spesies ketam itu di MHK Aquaculture, Mengabang Bakong, Jalan Merang, Kuala Terengganu dengan harga RM25 hingga RM35 sekilogram.

Syarikat milik Bumiputera, Encik Abd Latiff Abd Rahman, berkata dia turut menjual ketam berkulit keras dan membekal peralatan sekiranya ada yang berminat untuk menternak.

Katanya, cukup mudah menceburi bidang ini kerana ketam nipah sama ada berkulit lembut atau sebaliknya tidak cerewet untuk menjaganya.

“Paling penting, kandungan air dalam tangki ternakan perlu bersih dan ditukar dalam tempoh tiga bulan sekali selain memberi makan mengikut sukatan tertentu bagi mengelak ketam mengalami keracunan atau terkena ammonia.

“Ternakan spesies ini hanya mengambil masa tiga hingga lima minggu saja untuk matang sebelum dapat dipasarkan atau dijual,” katanya.

MHK Aquaculture mampu menjual lebih 400 kilogram (kg) ketam sebulan kepada pemborong tempatan dan luar Terengganu.

Beberapa pengusaha restoran tempatan tidak melepaskan peluang membeli ketam berkulit kulit yang diusahakan syarikat itu berikutan sukar memperolehnya di tempat lain.