Halaman

09 May 2011

Isu jadikan Kristian agama rasmi – usah bermain api

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Sudah terang dan nyata – Islam adalah agama rasmi negara ini. Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman di mana-mana bahagian Persekutuan.

Inilah kebijaksanaan pemimpin Umno yang telah memainkan peranan bagi memastikan Islam tetap menjadi agama rasmi negara dan ia tidak boleh ditukar ganti dengan agama lain sewenang-wenangnya.

Jika ada pihak yang mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan, mereka bukan saja perlu meminda Perlembagaan Persekutuan, tetapi ia memerlukan perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam.
Cadangan itu juga memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada Raja-Raja Melayu yang tentunya ketua agama Islam di negeri masing-masing.

Jika dihalusi memang tidak ada ruang langsung untuk mana-mana pihak mahu menggantikan Islam sebagai agama rasmi negara ini dan kedudukan Islam terjamin selagi Barisan Nasional (BN) terus menerajui pemerintahan negara ini dan Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua agama Islam.

Begitulah kesungguhan pemimpin Umno dari zaman Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman menjaga kesucian agama Islam agar ia tidak boleh dicabul atau dicabar mana-mana pihak.

Lainlah keadaannya jika pemimpin Pas sanggup terus bersengkokol dengan DAP dan mahu ‘merampas’ tampuk pemerintahan negara dan menyerahkannya kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tidak mustahil jika keadaan itu berlaku, Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda mengikut acuan yang dikehendaki oleh DAP.

Jika keadaan itu berlaku, pasti mereka semua yang turut menyokong pakatan Pas-DAP akan menyesal seumur hidup, tetapi apakan daya ‘nasi sudah menjadi bubur’.

Pastinya mereka yang menyokong perjuangan Pas turut mendapat ‘saham’ kerana membantu DAP menguburkan agama Islam.