Halaman

14 May 2011

Terengganu berpotensi wujud pusat pelancongan kesihatan

Oleh; Esah Abdullah


Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin

Terenganu mempunyai nilai amat tinggi terutama dalam aspek pelancongan kesihatan kerana mempunyai keistimewaan dari segi prasarana yang mampu menarik pelancong ke negeri ini seperti Pulau Kapas, Tasik Kenyir dan sebagainya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, negeri ini juga boleh dijadikan hub bagi Pusat Pelancongan Kesihatan (MHT) kerana kesungguhan dan kecenderungan pucuk pimpinan negeri amat menyokong kepada inovasi-inovasi baru berkaitan kesihatan.

“Ramai kalangan pelancong suka dengan suasana dan keadaan permandangan menarik, tenang seperti apa yang terdapat di negeri ini, keseronokan yang dirasai tentu dapat membantu mempercepatkan proses penyembuhan pesakit,” katanya.

“Setakat ini Pulau pinang dan Lembah Klang sudah mewujudkan pusat MHT tetapi saya lebih yakin negeri ini mempunyai potensi besar berdasarkan banyak keistimewaan semula jadi ada di sini,” kata Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia.

Datuk Rosnah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kemaman di Dewan Berlian, Kemaman semalam (13 Mei)

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera; Adun Kemasik, YB Ir. Rosli Othman; Adun Air Putih, YB Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Naib Ketua Umno Bahagian Kemaman, Encik Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan ketua ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

Katanya, semua kepimpinan Puteri sudah buat persiapan bagi menghadapi pilihanraya umum ke-13 (PRU-13) sejak tahun lalu dengan membuka bilik gerakan masing-masing.

“Bilik gerakan ini bukan saja untuk dijadikan pusat pilihanraya tetapi bagi memantau dan memastikan setiap aktiviti dijalankan bersesuaian dengan keadaan semasa serta memantau peningkatan keahlian dan daftar pemilih dikalangan ahli dan bukan ahli,” katanya.

Katanya,Puteri juga terpanggil untuk memain peranan mencari pendekatan dengan melaksanakan program yang membabitkan golongan Cina dan India di mana mereka merupakan rakan yang sama-sama menentukan kemenangan parti.