Seorang pembantu Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) hanya mampu berputih mata apabila melihat api marak membakar keseluruhan rumah dan harta bendanya sebaik tiba dari tempat kerja, dalam kejadian di Kampung Pengkalan Maras, Tepoh, kira-kira jam 6.40 petang semalam.
Rumah yang didiami mangsa, Zaidi ismail, 47, bersama isteri, Rohani Omar,41, dan enam anak berusia empat hingga 19 tahun sejak 14 tahun lalu dipercayai terbakar akibat litar pintas yang bermula dari bilik tidur anak sulung pasangan itu, Hidayatul Solehah, kira-kira jam 6.30 petang.
Menurut Zaidi, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dengan menunggang motosikal daripada tempat kerja di bandar ini dan dihubungi isteri sebaik tiba di Kampung Wakaf Tembesu bagi memaklumkan kejadian itu.
“Sebaik pulang saya sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi kerana api begitu marak memusnahkan seluruh rumah. Semua barang dan harta benda musnah sama sekali. Namun, saya bersyukur isteri dan tiga anak berusia empat hingga tujuh tahun yang berada di rumah ketika kebakaran itu berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan,” katanya.
Sementara itu, Rohani berkata, ketika kejadian dia berada di dapur sedang menyiapkan hidangan makan malam untuk keluarga sambil ditemani dua anak sebelum dikejutkan dengan jeritan seorang daripada dua anaknya itu yang memaklumkan terdapat api dari sebuah bilik tidur.
Katanya, anaknya yang berusia tujuh tahun memasuki ruang tamu dan bergegas ke dapur menerpa kepadanya sambil menjerit memberitahu kebakaran itu sebelum dia sendiri turut memeriksa dan segera keluar untuk mendapatkan bantuan jiran dan keluarga terdekat bagi membantu memadamkan kebakaran yang disangkanya masih sempat dikawal.
“Saya tidak menyangka api yang pada mulanya kecil marak dengan begitu cepat. Hanya beberapa minit keluar mendapatkan pertolongan, rumah saya sudah hampir keseluruhan dijilat api.
“Ramai datang membantu, tapi sudah takdir tiada apa yang boleh diselamatkan kecuali kami anak-beranak keluar dari kawasan yang berbahaya itu.Lagipun masa kejadian itu, saya tidak terfikir mengenai harta benda selain memikirkan keselamatan keluarga,” katanya.
Empat jentera bomba bergegas ke tempat kejadian kira-kira sepuluh minit kemudian selepas dihubungi jiran mangsa. Api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah bersebelahan yang terletak hanya beberapa meter daripada rumah mangsa.
Kerugian akibat kemusnahan rumah dan harta benda dalam kebakaran itu dianggarkan bernilai RM150,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Haji Muhammad Ramli Nuh meninjau tempat kejadian kira-kira 15 minit selepas kejadian itu dan menghulurkan bantuan peribadi bagi meringankan bebanan mangsa.
Haji Muhammad Ramli turut mengadakan lawatan susulan petang tadi bagi memastikan keluarga malang itu mendapat bantuan yang sewajarnya termasuk menyediakan tempat tinggal dan sumber kewangan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).