Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kesal apabila bidang sukan dijadikan sebagai gelanggang politik sehingga menjejaskan semangat kesukanan yang sepatutnya ditonjolkan oleh semua pihak khususnya penganjur kejohanan.
“Sukma Kuala Lumpur (di Bukit Jalil), hanya beberapa acara sukan sahaja diadakan. Kadang-kadang sukan seperti gelangang politik, bagi saya itu tidak betul. Contoh kenu, dipertandingkan di Sukan Sea, tetapi apabila menjadi tuan rumah (Indonesia) tidak mengadakan pula acara itu.
“Sepatutnya sukan berprestasi tinggi ini patut diadakan bagi melatih atlit negara kita ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika mengulas mengenai persiapan atlit Terengganu di temasya Sukan Malaysia ke-14 Kuala Lumpur Jun ini selepas merasmikan Pejabat Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG), di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Menteri Besar turut kecewa apabila Indonesia selaku tuan rumah Sukan Sea ke-26 pada November ini, mahu mengadakan pelbagai pertandingan termasuk acara yang seakan-akan tiada hala tuju dan matlamat sebenar pertandingan.
“Kita jadi tuan rumah kita boleh memilih permainan yang boleh menyebelahi kita untuk mengutip pingat. Kalau macam ini, akhirnya kita main (permainan) selambutlah,” katanya sambil berseloroh.
Beliau berkata, penganjur serta tuan rumah setiap kejohanan yang diberi hak menentukan setiap acara sukan yang mahu dipertandingkan perlu profesional dalam menentukan sukan teras dan pilihan yang sepatutnya.
Katanya, oleh kerana hanya mahukan kemenangan semata-mata menyebabkan penganjur hanya bijak bercakap dan bertindak mengadakan pelbagai acara yang tidak menggambarkan semangat kesukanan yang sebenar .
“Ini saya pelik, masing-masing hendak menang, atas dasar acara yang dia hebat, dia (penganjur) hendak adakan, kalau dia sukar menang ditiadakan acara itu.
“Seperti Sukan Sea, Dato’ Zolkples (Dato’ Zolkples Embong, Pengarah Majlis Sukan Negara) juga bising, mengenai berapa acara sukan yang hendak disenaraikan belum selesai walaupun tinggal masa berapa bulan lagi kejohanan itu,” katanya lagi.
Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, setiap penganjur perlu membetulkan mentaliti terhadap sukan kerana bidang itu menjadi satu industri yang harus dibangunkan dengan berkesan dan perlu mengelakkan daripada mengadakan satu-satu acara yang tidak popular disebabkan semata-mata mahukan nama.
Katanya, jika mahukan kemenangan setiap penganjur dan pengurusan perlu meningkatkan latihan terhadap atlit mereka termasuk menambah masa latihan dan bukan menggugurkan satu-satu acara kerana merasa sukar mendapat pingat.
Sementara itu, Sukma ke-14, Kuala Lumpur pada 2 hingga 12 Jun ini, Terengganu mahu mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.
Sehingga kini, menurut Menteri Besar persiapan Kontinjen Terengganu berjalan lancar sebelum menjelangnya temasya itu. Terengganu mensasarkan 48 pingat keseluruhan dengan 24 emas, 15 perak dan sembilan gangsa.