Halaman

13 May 2011

Terengganu perkenal Program PKK25

Oleh: Aida Abd. Rahman


Merancang dan melaksanakan program berkala bagi membudayakan al-Quran melalui bacaan bertadarus, tafsir dan taranum.

Kerajaan negeri bakal memperkenalkan program jangka pendek dan jangka panjang melalui Program Pengisian Kerohanian Untuk Golongan Berusia 25 Tahun Ke Atas (PKK25) bermula tahun ini hingga 2020 bagi memperkasakan pembangunan al-Quran di kalangan generasi pewaris khususnya golongan berusia 25 tahun ke atas.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata teras kepada program itu adalah merancang dan melaksanakan program berkala bagi membudayakan al-Quran mengikut minat masyarakat sama ada melalui bacaan bertadarus, tafsir dan taranum.

“Kita berharap dengan program PKK25 ini mampu menjadikan Terengganu sebagai negeri peneraju dalam pengajian al-Quran terulung dan pengeluar huffaz utama di Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2011, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Yang DiPertua Dewan Undangan negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd Rozali Salleh.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan serius terhadap usaha memartabatkan al-Quran serta memiliki peranan besar dalam pembangunan al-Quran di negeri ini.

Katanya, melalui Skim Hafaz al-Quran Dewasa Terbuka Negeri Terengganu, seramai 81 huffaz berjaya melepasi ujian yang diadakan pada bulan lalu dan mereka mendapat imbuhan saguhati antara RM800 hingga RM1,000 sebulan pada tahun ini.

Malah, katanya kerajaan negeri juga berjaya menyemai bibit mencintai al-Quran melalui Program Hafaz al-Quran Pelajar-pelajar Sekolah yang dilaksanakan sejak tahun lalu melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Beliau berkata, kanak-kanak kecil juga didedahkan dengan kitab suci itu menerusi Program Pintar al-Quran bagi memastikan golongan cilik dapat menguasai dan khatam al-Quran sejak dari pra-soklah lagi.

Dalam pada itu, kerajaan negeri bercadang mewujudkan kelas khas al-Quran secara percuma di Institut al-Quran Terengganu bagi mempertingkatkan mutu bacaan qari dan qariah di negeri ini mulai bulan depan.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati pencapaian qari dan qariah Terengganu kebelakangan ini yang kurang memberangsangkan dan perancangan itu bagi mengembalikan kegemilangan yang pernah dihasilkan qari dan qariah terdahulu, terutama kejayaan, Haji Daud Che Man dan Dato’ Hajah Rogayah Sulong di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.