Halaman

10 May 2011

Rumah baru untuk mangsa kebakaran di Pengkalan Maras

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerajaan negeri akan memastikan lapan sekeluarga yang hilang tempat tinggal akibat kebakaran di Kampung Pengkalan Maras, Tepoh, petang kelmarin dapat mendiami rumah baru selewat-lewatnya tiga bulan dari sekarang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata pihaknya akan membantu dengan kadar segera bagi menyelesaikan segala urusan berkaitan membangunkan rumah baru di tapak asal rumah yang musnah dalam kebakaran itu.

Katanya, peruntukan kira-kira RM33,000 menerusi Tabung Darul Iman dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan digunakan untuk membina rumah berkenaan untuk mangsa sekeluarga yang kini menumpang di rumah ibunya yang terletak berhampiran tempat kejadian itu.

“Selain bantuan rumah yang akan kita usahakan dengan secepat mungkin kepada lapan beranak ini yang diselaraskan JKM melalui Pejabat Daerah (Kuala Terengganu), kita juga membawa wakil Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk melihat bantuan yang sewajarnya dari aspek kewangan bagi membeli keperluan dan barangan dalaman untuk keluarga ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di Pengkalan Maras, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, seorang pembantu Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) hanya mampu berputih mata apabila rumah dan harta bendanya musnah dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Maras.

Rumah yang didiami mangsa, Zaidi ismail, 47, bersama isteri, Rohani Omar,41, bersama enam anak berusia empat hingga 19 tahun sejak 14 tahun lalu, dipercayai terbakar akibat litar pintas yang bermula dari bilik anak sulung pasangan itu, Hidayatul Solehah, 19.

Empat jentera bomba bergegas ke tempat kejadian selepas dihubungi jiran mangsa kira-kira sepuluh minit kemudian dan api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah bersebelahan yang terletak hanya beberapa meter daripada rumah mangsa.

Kerugian akibat kemusnahan rumah dan harta benda dalam kebakaran itu dianggarkan bernilai RM150,000.

Sementara itu, Zaidi bersyukur dengan keprihatinan kerajaan negeri termasuk pemimpin kawasan yang segera tampil dan turun padang membantu meringankan bebanan yang sedang dihadapi mereka sekeluarga akibat kejadian malang itu.

“Terima kasih kepada Yang Berhormat yang sudi membantu kami sekeluarga. Saya berharap sangat dapat tinggal di rumah sendiri melalui bantuan kerajaan negeri dengan kadar segera. Walaupun rumah saya musnah, saya bersyukur sebab keluarga saya terselamat,” katanya.