Kerajaan negeri kesal dengan tindakan syarikat ANZ Sdn Bhd yang menjadikan Kampung Tok Adis, Kuala Ibai sebagai taman perumahan dan bukannya kawasan beriadah seperti mana yang dirancang pada 1999 lalu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pemilik syarikat itu yang juga pemimpin parti PAS sewaktu pengambilan tanah telah bersikap kurang adil kepada rakyat berikutan memikirkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan keperluan rakyat.
Katanya, sewaktu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menjadi Menteri Besar, dia pernah mencadangkan supaya lokasi itu dijadikan kawasan riadah untuk penduduk termasuk membina padang bola sepak, bola jaring dan taman permainan kanak-kanak.
“Kita sedih dengan nasib penduduk, pemuda dan kanak pada ketika itu kerana ketiadaan tempat untuk beriadah dan bersukan.
“Untuk pengetahuan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), lokasi yang berkeluasan hampir 52 hektar itu kini dipenuhi kediaman hasil projek milik ANZ,” katanya ketika menjawab soalan YB Haji Alias Abdullah BN-Alor Limbat.
Menurutnya, semua rakyat mengetahui, ANZ memperoleh pelbagai projek sewaktu parti Pas mengambil alih tampuk kepimpinan pada 1999 hingga 2004 yang nyata untuk mengejar keuntungan.
“Sumber kewangan yang diperoleh kerajaan hasil pembinaan perumahan itu cukup rendah dan jauh seperti yang dijangka iaitu hanya kira-kira RM1 juta,” katanya.