Halaman

22 October 2011

YPU buka T-Kafe di Perth Australia

Oleh: Suriati Ali



Makanan tradisional Terengganu, nasi dagang bakal menembusi pasaran di Perth, Australia apabila Yayasan Usahawan Terengganu (YPU) membuka kedai makan T-Kafe di negara itu, awal tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera berkata, selain nasi dagang, pelbagai jenis lagi makanan tradisi Terengganu akan dijual di sana.

“Kita akan menjual otak-otak, paih, keropok dan lain-lain lagi kerana di sana terdapat ramai orang Melayu yang kita percaya makanan ini akan mendapat sambutan,” katanya.





Dato’ Mohamed berkata, di Australia, terdapat lebih kurang 40,000 orang Melayu dan ini satu peluang bagi YPU untuk memasarkan produk industri kecil sederhana (IKS) keluaran negeri ini melalui T-Kafe itu.

Beliau berkata T-Kafe itu juga akan menjual barangan kraf buatan Terengganu seperti tekstil dan kraftangan serta air roselle selain makanan tersebut.

“Kita tiada masalah untuk mendapatkan bahan untuk membuat nasi dagang kerana beras dan ikan tongkol untuk lauk nasi dagang senang didapati di Australia,” katanya.

Katanya, YPU akan mengadakan kerjasama dengan usahawan Melayu di Perth untuk membuka kedai T-Kafe di negara itu.

“Pada dasarnya, usahawan Melayu itu merupakan seorang peniaga kedai makan yang berjaya di Perth dan beliau bersetuju untuk bekerjasama dengan YPU.

“Kami sedang berunding dan akan memulakan perniagaan sebaik sahaja perundingan itu mencapai kata sepakat,” katanya.

Dato’ Mohamed berkata YPU yang mewakili Kerajaan Negeri di Perth Royal Show 2011 di Claremont Showground Australia pada bulan lalu telah menemui usahawan tersebut dan sekali gus membuka jalan untuk mewujudkan T-Kafe di sana.

Kerajaan Negeri memperkenalkan lima jenis produk IKS pada Perth Royal Show 2011 yang berlangsung dari 1 hingga 8 Oktober lalu iaitu keropok lekor sejuk beku, keropok kering, krafta-ngan, tekstil, air minuman roselle dan ikan sardin.

“Dalam program itu, YPU telah berjaya menjual produk IKS bernilai hampir RM60,000 dan ini merupakan sambutan yang menggalakkan daripada penduduk di Perth terhadap barangan keluaran Terengganu.

“Selain makanan, Mohamed berkata YPU juga akan memperkenalkan barangan seperti jaket, beg tangan, tali pinggang dan barangan kulit lain yang bermutu di Perth apabila T-Kafe itu dibuka nanti,” katanya.





YPU buka T-Kafe di Perth Australia

Oleh: Suriati Ali

Makanan tradisional Terengganu, nasi dagang bakal menembusi pasaran di Perth, Australia apabila Yayasan Usahawan Terengganu (YPU) membuka kedai makan T-Kafe di negara itu, awal tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera berkata, selain nasi dagang, pelbagai jenis lagi makanan tradisi Terengganu akan dijual di sana.

“Kita akan menjual otak-otak, paih, keropok dan lain-lain lagi kerana di sana terdapat ramai orang Melayu yang kita percaya makanan ini akan mendapat sambutan,” katanya.



Dato’ Mohamed berkata, di Australia, terdapat lebih kurang 40,000 orang Melayu dan ini satu peluang bagi YPU untuk memasarkan produk industri kecil sederhana (IKS) keluaran negeri ini melalui T-Kafe itu.

Beliau berkata T-Kafe itu juga akan menjual barangan kraf buatan Terengganu seperti tekstil dan kraftangan serta air roselle selain makanan tersebut.

“Kita tiada masalah untuk mendapatkan bahan untuk membuat nasi dagang kerana beras dan ikan tongkol untuk lauk nasi dagang senang didapati di Australia,” katanya.

Katanya, YPU akan mengadakan kerjasama dengan usahawan Melayu di Perth untuk membuka kedai T-Kafe di negara itu.

“Pada dasarnya, usahawan Melayu itu merupakan seorang peniaga kedai makan yang berjaya di Perth dan beliau bersetuju untuk bekerjasama dengan YPU.

“Kami sedang berunding dan akan memulakan perniagaan sebaik sahaja perundingan itu mencapai kata sepakat,” katanya.

Dato’ Mohamed berkata YPU yang mewakili Kerajaan Negeri di Perth Royal Show 2011 di Claremont Showground Australia pada bulan lalu telah menemui usahawan tersebut dan sekali gus membuka jalan untuk mewujudkan T-Kafe di sana.

Kerajaan Negeri memperkenalkan lima jenis produk IKS pada Perth Royal Show 2011 yang berlangsung dari 1 hingga 8 Oktober lalu iaitu keropok lekor sejuk beku, keropok kering, krafta-ngan, tekstil, air minuman roselle dan ikan sardin.

“Dalam program itu, YPU telah berjaya menjual produk IKS bernilai hampir RM60,000 dan ini merupakan sambutan yang menggalakkan daripada penduduk di Perth terhadap barangan keluaran Terengganu.

“Selain makanan, Mohamed berkata YPU juga akan memperkenalkan barangan seperti jaket, beg tangan, tali pinggang dan barangan kulit lain yang bermutu di Perth apabila T-Kafe itu dibuka nanti,” katanya.




Komputer riba guru,tambah kualiti pelajaran murid-murid

Oleh: Suriati Ali

Keprihatinan kerajaan negeri mengagihkan komputer riba secara percuma kepada semua guru Tahun Enam di negeri ini nyata mengembirakan golongan itu berikutan mampu menambah baik kualiti pelajaran murid di sekolah masing-masing.

Penerima komputer riba, Choong Kim Wah dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lok Khoon, Kemasik, Kemaman, berkata dia sangat berterima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana sudi mengagihkan komputer riba kepada semua guru-guru Tahun Enam.

“Pemberian alatan bantuan belajar ini merupakan satu bonus kepada kami kerana mampu
memberi tunjuk ajar secara lebih mendalam dalam semua mata pelajaran kepada murid-murid yang bakal menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Rata-rata murid-murid lebih mengemari dan mudah memahami apa yang diajar melalui komputer berbanding kaedah biasa iaitu buku teks,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Komputer Riba Kepada Guru Tahun Enam, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.



Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman ; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Encik Razali Daud dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Seramai 2,642 guru Tahun Enam yang membabitkan peruntukan RM2.5 juta menerima komputer riba yang disampaikan sendiri Dato’ Seri Haji Ahmad.

Guru Sekolah Kebangsaan Durian Mas 11, Encik Hanith Iskandar, berkata dia akan menggunakan kemudahan ini sebaik mungkin supaya markah murid-murid yang diajarnya sentiasa dalam keadaan baik dan cemerlang.

“Saya juga berazam tidak akan menghampakan harapan sekolah dan Terengganu untuk terus kekal cemerlang dalam UPSR,” katanya .

Chia Cheng-Cheng, guru SJKC Lok Khoon mengakui gembira kerana terpilih untuk menerima komputer riba percuma yang diagihkan kerajaan Terengganu.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri sanggup mengeluarkan belanja jutaan ringgit setahun semata-mata ingin melihat mutu pelajaran anak didik Terengganu sentiasa dalam keadaan baik.

“Saya mengharapkan guru menerima komputer riba memanfaatkannya sebaik mungkin untuk kecemerlangan pelajar, sekolah dan nama baik Terengganu ,” katanya.



Katanya, pemberian komputer ini juga sebagai hadiah kerana mampu mengekalkan kecemerlangan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) selama 10 tahun berturut-turut.

“Saya percaya, setiap guru yang menerima peralatan ini lebih bersemangat mencurahkan ilmu kepada anak didik masing-masing dalam usaha mengekalkan kedudukan dan lebih cemerlang pada tahun seterusnya,” katanya




Murid dari Kelantan turut mendapat e-Book kerajaan Terengganu

Oleh: Mohammad Ishak


Seorang bapa bersama anak menerima e-book daripada Menteri Besar


SAMA ada disedari atau tidak pengagihan e-Book oleh Kerajaan Terengganu kepada murid sekolah bukan sahaja dinikmati oleh murid negeri ini malah ia turut dirasai sama oleh mereka yang tinggal di Negeri Kelantan.

Kemudahan yang disediakan kerajaan negeri sebenar turut mendapat menfaat kepada keluarga yang tinggal di sempadan Kelantan/Terengganu apabila mereka menghantar anak bersekolah di negeri ini.

Sekurang-kurangnya lima sekolah di sempadan negeri berkenaan mempunyai murid yang keluarga mereka tinggal negeri itu tetapi menghantar anak mereka ke sokolah berhampiran yang kebetulan berada di Terengganu.

Antara sekolah yang berada di sempadan dan mempunyai murid dari negeri itu ialah Sekolah Kebangsaan Tok Motong, SK Air Terjun, SK Kampung Baru, SK Alor Peroi dan SK Tok Saboh.

Selain murid dari Kelantan, turut mendapat faedah daripada pengagihan e-book, ialah ramai juga penyokong Pas dari negeri bersempadan menerimanya setiap kali program diadakan.

Perkembangan itu, menyebabkan ramai mereka yang tinggal di sempadan kini lebih berminat untuk menghantar anak ke sekolah negeri ini kerana mendapat pelbagai kemudahan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ibu bapa yang tinggal di kawasan sempadan bagaimanapun memuji usaha yan g dilakukan Kerajaan Terengganu kerana menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat tanpa memilih faham politik masing-masing.

Seorang bapa,Daud Abdullah,51, dari Kampung Pacakan,Kuala Besut berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri ini kerana menyediakan bantuan berkenaan.

“Walaupun saya tinggal di Kelantan tetapi kerana menghantar anak bersekolah di Kuala Besut, kami juga turut menikmati kemudahan yang disediakan,” katanya.


Wanita UMNO Bahagian Besut anjur Hari Keluarga

Oleh: Mohammad Ishak



Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Besut menganjurkan program Hari Keluarga membabitkan ahli daripada empat Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlimen Besut.

Timbalan Ketuanya, Toh Puan Seri Wan Naimah Abd Latif berkata, program itu bertujuan merapatkan hubungan antara pemimpin dengan ahli dan komuniti setempat.

Katanya, semua Pengerusi Penyelaras DUN iaitu DUN Kuala Besut,Hulu Besut,Kota Putera dan Jertih, sudah mengadakan program berkenaan mulai semalam.

Menurunya, baki dua lagi DUN akan mengadakan program sama di kawasan masing-masing dalam minggu ini.

Beliau berkata, program membabitkan aktiviti riadah secara sederhana itu diharap dapat menjalin semangat kerjasama antara ahli serta penduduk setempat.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi setiap kawasan terbabit diwajibkan hadir pada program yang diadakan di kawasan masing-masing,” katanya.

Wan Naimah berkata, menerusi program itu walaupun diadakan secara sederhana ia menampakkan kesungguhan ahli akar umbi mengambil bahagian dalam setiap acara yang diadakan.

Selain hari keluarga,katanya, pihaknya juga turut mengadakan sesi “Sembang Petang” membabitkan pemimpin Wanita dengan ahli di semua peti undi parlimen Besut bermula minggu lalu.




Marzuki dan rakan-rakan tekad tumpaskan Selangor

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kapten Terengganu, Marzuki Yusof dan rakan-rakan tekad mahu menumpaskan Selangor dalam perlawanan separuh akhir kedua pertandingan Piala Malaysia di gelanggang sendiri, malam ini.

Mereka berazam mematahkan semangat lawan seawal minit pertama seperti yang dilakukan pada pertemuan di gelanggang lawan sebelum ini, bagi memastikan skuad “Penyu” mara ke final.

“Jika kita berjaya mendapat gol awal seperti pertemuan pertama minggu lalu, sudah pasti semangat pasukan lawan akan pudar dan kita dapat menguasai perlawanan sepenuhnya,” katanya.

Beliau yakin dengan sokongan padu penyokong Terengganu, mereka akan menang perlawanan dengan pasukan yang sebelum ini muncul juara Piala Malaysia 32 kali, seterusnya melangkah ke pertandingan akhir.


Marzuki berkata, dia dan rakan-rakanya tidak gentar untuk menghadapi pasukan lawan, apatah lagi kali ini mereka akan bermain di gelanggang sendiri yang pastinya mendapat sokongan padu peminat.

Katanya, mereka berazam untuk mengatasi Selangor dan mara ke final, seterusnya memenangi Piala Malaysia untuk ‘dihadiahkan’ kepada rakyat Terengganu seperti Piala FA.


JHEAT turun padang dekati masyarakat

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melaksana program turun padang dalam usaha mendekati masyarakat dengan mengatur pelbagai aktiviti keagamaan dan gotong royong.

Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohd Rozali Salleh berkata, program ini membabitkan semua pegawai JHEAT serta imam dan bilal dalam daerah Kuala Terengganu melaksanakan aktviti kemasyarakatan membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri.


“Di samping menyampaikan maklumat jabatan, program ini turut memberi peluang jabatan menyelami lebih dalam masalah berkaitan imam dan bilal serta komuniti masjid yang mungkin terlepas pandang sebelum ini,” katanya.

Haji Mohd. Rozali berkata demikian pada majlis ilmu di Masjid Bukit Wan, Batu Rakit dalam program turun padang bersama memakmurkan rumah Allah semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Adun Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat; Imam Besar Terengganu, Haji Aizi Saidi Abdul Aziz serta semua Penolong Pesuruhjaya dan Pegawai Agama daerah-daerah.

Dalam tazkirahnya, Haji Mohd Rozali meminta imam dan bilal dan masyarakat sentiasa berusaha memakmurkan masjid dengan mengatur pelbagai aktiviti menarik orang ramai datang ke rumah Allah.

“Individu yang setiasa mengunjungi masjid akan mendapat ketenangan dan rahmat sangat besar menanti jemaah yang rajin mengunjungi rumah Nya,” katanya.






21 October 2011

Tahun ke-3 Revive taja Piala Monsun

Oleh FAUZI MOHD

PERMANIS Sdn. Bhd., salah satu pengeluar minuman terbesar di Malaysia, kembali menjadi penaja rasmi isotonik Piala Monsun.

Revive merupakan minuman isotonik rasmi Piala Monsun, iaitu pusingan terakhir siri Jelajah Dunia WMRT yang akan berlangsung di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu pada 22 hingga 27 November depan.

Penajaan untuk tahun ketiga berturut-turut itu bukan saja menunjukkan komitmen Revive kepada Piala Monsun, malah pembangunan industri sukan di negara ini.

"Kami gembira untuk kembali sebagai penaja rasmi isotonik Piala Monsun. Selepas bertungkus lumus dalam perlumbaan sengit, Revive isotonik akan menghidratkan pelayar dan mengekalkan tahap tenaga mereka,'' kata Naib Presiden Pemasaran Permanis, Hemalatha Ragavan.

Minuman isotonik Revive adalah jawapan kepada keperluan anda kerana ia terdiri daripada formulasi khas Vitamin B3, B6, dan B12 untuk meningkatkan kadar metabolisme dan memberi tenaga yang diperlukan bagi memenuhi keperluan elektrolit badan seperti natrium dan kalium untuk menghidrat dan menambah keperluan cecair badan.

Pengurus Kanan Operasi Piala Monsun, Shafique Iqbal mengalu-alukan penajaan Permanis dan hubungan erat mereka yang sekian lama. "Ini adalah rangsangan yang hebat untuk kami dan kami yakin Revive isotonik akan memastikan pelayar kelas dunia sentiasa segar sebelum dan selepas perlumbaan."

4 lokasi di Terengganu lihat anak bulan Zulhijah

Oleh FAUZI MOHD

Petang 27 Oktober bersamaan 29 Zulkaedah ditetapkan bagi melihat anak bulan Zulhijah bagi menentukan tarikh Hari Raya Aidiladha.

Menurut laporan Bernama hari ini, perkara itu dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin setelah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

Katanya, Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Aidiladha atau Hari Raya Qurban adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Sebanyak 30 lokasi ditetapkan bagi melihat anak bulan termasuk empat di Terengganu iaitu Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Kemuning, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap UniSZA di Setiu.

Pada malam itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Dato’ Syed Danial Syed Ahmad akan mengisytiharkan tarikh Hari Raya Qurban menerusi radio dan televisyen.

Bandaraya ‘tambak laut’ tarik pelaburan RM5 bilion


Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama Dato' Haji Mazlan Ngah dan Dato’ Jebasingam Issace John melihat pelan pembangunan KTCC selepas majlis pecah tanah di Muara Selatan, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.



Oleh FAUZI MOHD

PROJEK Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bakal menjadi pemangkin kepada transformasi pembangunan negeri ini dengan nilai pelaburan RM5 bilion.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, projek yang merangkumi tiga pemangkin utama iaitu pusat gaya bersepadu, pusat komersial dan hab pendidikan itu mewujudkan lebih 82,000 peluang pekerjaan kepada penduduk Terengganu menjelang 2020.

Menurutnya, pembangunan seluas kira-kira 7 kimometer radius itu dijangka membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sehingga 7.5 peratus menjelang tahun yang sama berbanding 5.5 peratus ketika ini.




“Projek KTCC akan menjadi penanda aras baru kepada pembangunan hartanah di Terengganu pada masa depan dan meletakkan negeri ini sebagai pusat pelancongan moden bertaraf dunia.

“Kerajaan Negeri menyasarkan peningkatan kunjungan pelancong sebanyak 3.5 juta orang setahun menjelang 2013 berbanding lebih 2.5 juta pada masa sekarang,” katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah dan pelancaran projek KTCC di Muara Selatan, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John.

Pada majlis itu, Dato’ Seri Ahmad turut menyaksikan dua memorandum persefahaman (MOU) ditandatangi iaitu antara ECERDC yang diwakili Dato’ Jebasingam, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (TAWNT) diwakili Dato’ Mazlan dan KTCC Mall Sdn. Bhd. Diwakili Tan Sri Tang Yeam Soon.

Sebuah lagi MOU melibatkan ECERDC, TAWNT dan syarikat Austin Heights Sdn. Bhd. Yang diwakili Dato’ Ir. Steve Chong Yoon On.

ECERDC merupakan antara koridor pembangunan terbesar negara yang sebahagian besarnya dibangunkan di tanah tambakan di Muara Sungai Terengganu yang merangkumi pembangunan lima bidang utama iaitu Muara Utara, Muara Selatan, Pulau Warisan, Kampung Ladang dan Tanjung serta Tebing Pesisir Air.



Antara komponen lain yang akan dibangunkan melalui penglibatan pelabur dalam dan luar negara ialah pusat perniagaan komersial, pusat konvensyen antarabangsa dan kediaman moden yang akan dilengkapi dengan pusat beli-belah, percutian, perubatan dan pendidikan.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, bagi melengkapkan pembangunan KTCC, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Kedua disiapkan menjelang 2013 dan bakal mengurangkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur kepada empat jam.

"KTCC akan menjadi faktor penarik untuk menggalakkan lebih ramai belia kembali bekerja di negeri ini apabila melihat perubahan bandar raya ini yang bakal menjadi hab kehidupan, bekerja dan aktiviti-aktiviti rekreasi," jelasnya.



Bagi mempromosikan imej negeri itu sebagai Gerbang Pelancongan di ECER katanya, sebuah mercu tanda baru negeri iaitu jambatan angkat (draw breach) bernilai hampir RM40 juta bakal dibina menghubungkan Muara Selatan dan Muara Utara.

Antara projek yang bakal menjadi langskap pembangunan di KTCC katanya, sebuah apartment 30 tingkat bernilai RM150 juta yang mengandungi 292 unit rumah dan 90 unit ruang komersil dibangunkan melalui peruntukan TAWNT.



Selain itu kata Dato’ Seri Ahmad, menara 30 tingkat milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bakal dibina dan sebuah lagi menara dengan ketinggian sama dibangunkan untuk menempatkan pejabat semua yayasan-yayasan milik Kerajaan Negeri.

“Selain itu, sebuah menara hotel dengan kapasiti 400 bilik turut menjadi ikon pelancongan menarik dengan kemudahan pusat boling 36 lorong bertaraf antarabangsa bakal dibangunkan,” katanya.