Keprihatinan kerajaan negeri mengagihkan komputer riba secara percuma kepada semua guru Tahun Enam di negeri ini nyata mengembirakan golongan itu berikutan mampu menambah baik kualiti pelajaran murid di sekolah masing-masing.
Penerima komputer riba, Choong Kim Wah dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lok Khoon, Kemasik, Kemaman, berkata dia sangat berterima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana sudi mengagihkan komputer riba kepada semua guru-guru Tahun Enam.
“Pemberian alatan bantuan belajar ini merupakan satu bonus kepada kami kerana mampu
memberi tunjuk ajar secara lebih mendalam dalam semua mata pelajaran kepada murid-murid yang bakal menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Rata-rata murid-murid lebih mengemari dan mudah memahami apa yang diajar melalui komputer berbanding kaedah biasa iaitu buku teks,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Komputer Riba Kepada Guru Tahun Enam, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman ; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Encik Razali Daud dan beberapa pegawai kanan kerajaan.
Seramai 2,642 guru Tahun Enam yang membabitkan peruntukan RM2.5 juta menerima komputer riba yang disampaikan sendiri Dato’ Seri Haji Ahmad.
Guru Sekolah Kebangsaan Durian Mas 11, Encik Hanith Iskandar, berkata dia akan menggunakan kemudahan ini sebaik mungkin supaya markah murid-murid yang diajarnya sentiasa dalam keadaan baik dan cemerlang.
“Saya juga berazam tidak akan menghampakan harapan sekolah dan Terengganu untuk terus kekal cemerlang dalam UPSR,” katanya .
Chia Cheng-Cheng, guru SJKC Lok Khoon mengakui gembira kerana terpilih untuk menerima komputer riba percuma yang diagihkan kerajaan Terengganu.
Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri sanggup mengeluarkan belanja jutaan ringgit setahun semata-mata ingin melihat mutu pelajaran anak didik Terengganu sentiasa dalam keadaan baik.
“Saya mengharapkan guru menerima komputer riba memanfaatkannya sebaik mungkin untuk kecemerlangan pelajar, sekolah dan nama baik Terengganu ,” katanya.
Katanya, pemberian komputer ini juga sebagai hadiah kerana mampu mengekalkan kecemerlangan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) selama 10 tahun berturut-turut.
“Saya percaya, setiap guru yang menerima peralatan ini lebih bersemangat mencurahkan ilmu kepada anak didik masing-masing dalam usaha mengekalkan kedudukan dan lebih cemerlang pada tahun seterusnya,” katanya