“Cukup rugi sekiranya pelancong luar Terengganu tidak merasai kelazatan pelbagai makanan tradisional seperti nasi dagang, semang, kerepok lekor, akok telur, puding raja, jala mas dan laksam apabila berkunjung ke negeri ini.
“Puluhan hidangan itu mudah didapati di gerai-gerai makanan, restoran dan juga tempat paling popular di Terengganu iaitu Pasar Besar Kesar Payang,” kata isteri Menteri Besar To’ Puan Norliza Mahmud ketika berucap di Majlis Makan Malam di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu, malam tadi (16 Oktober).
Majlis itu diadakan bagi meraikan 40 ahli rombongan Wanita Umno Bahagian Shah Alam, Selangor yang berkunjung ke Terengganu selama tiga hari dan dua malam.
Beliau berbesar hati menerima kunjungan seumpama ini dan mengalu-alukan semua ahli rombongan sudi melawat pelbagai destinasi menarik, termasuk Taman Tamadun Islam, Tasik Kenyir, Pantai Batu Burok dan sebagainya.
Ketua rombongan yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Shah Alam, Puan Radziah Ahmad berkata semua ahli rombongan kagum dengan perubahan yang berlaku di Terengganu, bukan saja di segi kemudahan prasarana, tetapi ia juga meliputi kemudahan awam, lanskap dan kebersihan yang terjaga rapi.
“Berdasarkan perubahan ini, tidak hairanlah pelancong menaruh minat untuk kembali melawat Terengganu sekaligus menyaksikan bilangan pengunjung meningkat setiap tahun.
“Sesiapa saja yang berkunjung ke negeri ini tidak lengkap jika tidak singgah ke Pasar Payang untuk membeli batik, barangan kraf, barangan tembaga dan juga makanan tradisional seperti keropok lekor, coklat nisan dan sebagainya,” katanya.