Halaman

17 October 2011

Swasta dipelawa sertai ternakan ikan air tawar

Oleh; Esah Abdullah


Kadar pengeluaran sumber perikanan darat di negeri ini masih belum berjaya sepenuhnya walaupun projek awal telah dimulakan di Tasik kenyir.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris berkata, untuk mencapai tahap optimum kerajaan berharap ada pelabur luar berminat untuk meneroka penternakan ikan sungai pada masa akan datang.

“Peranan pihak swasta dalam zon akuakultur juga mampu memastikan hasrat kita ke arah menjadikan bidang berkenaan suatu yang menguntungkan semua pihak,” katanya selepas melakukan pelepasan benih ikan di Sungai Nerus, Kampung Pelong, Setiu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Encik Zakaria Ismail dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Encik Ishamuddin Hashim.

Sebanyak 12,000 benih ikan kelah, lampam dan kerai telah dilepaskan dalam usaha mengekalkan populasi ikan air tawar daripada terus mengalami kepupusan.

Katanya, pelepasan ini merupakan kali kedua selepas projek pertamanya di Tasik Kenyir dan Sungai Nerus dilihat sangat bersesuaian dengan keadaan biologi asal sungai dan kaya dengan spesies ikan air tawar.

“Saya yakin pembabitan tiga kampung disekitar sungai ini iaitu Kampung Payong, Seri Kenangan dan Pelong berpotensi untuk menjadi santuari ikan sungai suatu hari nanti,” katanya.

Menurutnya, projek pelepasan benih ikan ini di bawah pemantauan Jabatan Perikanan akan dikembangkan ke daerah lain selepas ini.