Kolej Teknologi Bestari (KTB) Setiu membelanjakan lebih RM11 juta setahun untuk pelbagai tujuan, termasuk mendahulukan pembiayaan pelajar baru sebelum mereka diberi pinjaman untuk belajar di kolej berkenaan.
Pengerusi Lembaga Pengarah KTB, Dato’ Dr. Tengku Mahmud Mansor berkata, sehingga ini KTB menanggung tunggakan bayaran balik pinjaman berjumlah RM10 juta daripada pelajarnya, sejak kolej itu beroperasi 13 tahun lalu.
“Namun, masalah tersebut tidak menganggu operasi KTB yang kini menawarkan 17 kursus peringkat diploma dan ijazah kepada pelajar seluruh negara.
“KTB mengenakan yuran pengajian paling rendah antara institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini,” katanya kepada pemberita di majlis Program Bakti Siswa KTB di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit petang semalam.
Hadir sama, penasihat program Encik Mohd Zubaidi Abdul Samad dan Noor Najmiah Ali serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Wan, Haji Che Harun Ismail.
Sehingga ini, Dato’ Tengku Mahmud Mansor berkata, KTB menawarkan 17 kursus diploma dan ijazah serta mempunyai 1,500 pelajar yang sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai jurusan di kolej berkenaan.
Menyentuh program bakti siswa, beliau menegaskan peserta perlu menimba pengalaman sebanyak mungkin serta mempelajari kaedah hidup bermasyarakat.
“Ilmu tidak lengkap jika seseorang itu tidak mempunyai kemahiran lain serta kemampuan berkomunikasi dengan lancar,” katanya.
Katanya, program turun ke kampung-kampung merupakan platform terbaik kepada mereka membuat persiapan diri bila berada di alam pekerjaan kelak.
Seramai 42 orang mahasiswa dan mahasiswi KTB menyertai program tiga hari dua malam yang diisi dengan aktiviti kemasyarakatan termasuk berkunjung ke rumah warga emas, orang kurag upaya dan keluarga miskin serta menghulur sumbangan berupa barangan keperluan harian.
Turut diadakan 10 acara sukaneka membabitkan anak dan keluarga angkat seperti pertandingan lilin cinta, tangkap basah, boling buah kelapa, junjung nyior, tarik batang kelapa, rebut kerusi dan lari bawa bola (kanak-kanak).