Halaman

20 October 2011

Terengganu perkasa Bahasa Melayu


Gimik pelancaran Bulan Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 peringkat negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Kerajaan negeri akan terus memberi fokus kepada usaha memperkasakan Bahasa Melayu bagi menjadikannya bahasa ilmu dan asas perpaduan.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menggesa rakyat daripada pelbagai kaum supaya memperbaharui iltizam dan azam, memantapkan kualiti sahsiah dan mengenali jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia.



“Tema Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini iaitu 1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara, bertepatan dengan gagasan 1Malaysia yang dicita-citakan.

“Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, gagasan 1Malaysia adalah berasaskan prinsip-prinsip yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Sebagai bangsa Malaysia, kita wajib mempertahankan dan menghormati bahasa

kebangsaan kita sebagai lambang jati diri dan bahasa perpaduan negara kita,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 peringkat negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu, hari ini.

Hadir sama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato’ Haji Termuzi Abd Aziz.

Menteri Besar berkata, penghayatan Bahasa Melayu perlu disegarkan semula dalam semua sektor dan langkah itu tidak akan tercapai tanpa penglibatan dan komitmen padu semua pihak, sama ada di sektor awam, swasta mahu pun Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Beliau meminta semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua urusan dan majlis rasmi sepanjang masa, khususnya sepanjang Bulan Bahasa Kebangsaan.



Dato’ Seri Haji Ahmad turut meminta Pihak Berkuasa Tempatan memastikan paparan dan peragaan seperti iklan, papan tanda, nama jalan dan lain-lain mengutamakan penggunaan bahasa Melayu serta persekitaran memaparkan latar dan panorama yang bercitrakan Malaysia.

“Perkara ini selaras dengan Undang-Undang Kecil dan Iklan dan Garis Panduan Iklan Premis Perniagaan seperti dalam Pekeliling Jabatan Kerajaan Tempatan bertarikh 11 Januari 2005,” ujar beliau.