Halaman

16 October 2011

“Bahang rapat jik” – pastikan BN menang semua kerusi Parlimen dan DUN Hulu Terengganu

Oleh: Penganalisis Teganukita

Umno Bahagian Hulu Terengganu memperkenalkan moto ‘bahang rapat jik’ bagi menaikkan semangat ahli dan menggerakkan jentera pilihan raya agar calon Barisan Nasional (BN) menang semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Hulu Terengganu, pada pilihan raya umum akan datang.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), BN menang kerusi Parlimen Hulu Terengganu dan tiga daripada empat kerusi DUN iaitu Ajil, Kuala Berang dan Telemong manakala DUN Manir dimenangi calon Pas.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, YB Haji Rozi Mamat, menegaskan pihaknya sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU-13 dan memenangi semua kerusi DUN dan Parlimen dengan majoriti undi lebih besar.

Malah, beliau turut memberi jaminan keazaman pemimpin bahagian tersebut untuk bekerja keras bagi memastikan Bahagian Hulu Terengganu terus kekal sebagai kubu kuat Umno.

Berdasarkan sokongan semasa penduduk, khususnya pengundi di kawasan itu, hasrat Umno Bahagian melihat calon BN menang pada PRU-13 dengan majoriti lebih besar di setiap DUN dan merampas semula DUN Manir, bukan suatu fantasi.

Pada PRU-12, calon BN menang di DUN Telemong dengan majoriti 5,893 undi, Ajil (4,727 undi) dan Kuala Berang (1,592 undi), tetapi kalah tipis di DUN Manir dengan majoriti 432 undi.

Bagi Parlimen Hulu Terengganu pula calon BN menang besar dengan majoriti 10,460 undi.

Justeru berbekalkan moto “‘bahang rapat jik” yang diperkenalkan Umno Bahagian Hulu Terengganu khusus bagi menaikkan semangat jentera parti, tidak mustahil jika BN berjaya mengekalkan semua kerusi yang dimenangi pada PRU-12 dan merampas semula DUN Manir pada PRU-13.

Menurut YB Rozi, “bahang rapat jik” yang sinonim dengan semangat juang habis-habisan itu akan ditonjolkan dalam gerak kerja parti Umno di semua peringkat bagi menghadapi PRU-13 dengan matlamat menggapai kejayaan lebih besar.

Berdasarkan sokongan semasa penduduk tempatan terhadap Umno dan BN, calon BN tidak akan menghadapi masalah mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu dan tiga kerusi DUN.

Manakala bagi kerusi DUN Manir pula, tanda-tanda awal jelas memihak kepada BN apabila rakyat pelbagai lapisan membanjiri setiap program anjuran Umno.

Paling ketara, kunjungan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak di kawasan tersebut pada 30 April lalu, mendapat sambutan di luar dugaan dan diberi reaksi positif oleh Perdana Menteri.

Selepas majlis itu, beliau penuh yakin memberitahu pihak media bahawa DUN Manir dan DUN Bukit Tunggal yang dimenangi calon Pas pada pilihan raya lalu bakal ditawan semula oleh BN pada pilihan raya umum akan datang.

Sejak kebelakangan ini, banyak perubahan dilakukan Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam bagi menguatkan keyakinan Perdana Menteri bahawa DUN Manir akan dimenangi calon BN pada pilihan raya umum akan datang.

Apa yang penting, semua pihak perlu memberi sokongan kepada apa jua usaha yang dilakukan Umno dan BN di DUN Manir bagi memastikan calon BN menang semua kerusi DUN dan Parlimen Hulu Terengganu pada PRU-13.

Pemimpin dan ahli Umno perlu “bahang rapat jik” bagi menguatkan kedudukan Umno dan BN bukan saja di Manir, tetapi di semua DUN dalam kawasan Parlimen Hulu Terengganu bagi mencapai impian tersebut.