Halaman

20 October 2011

SMK Lembah Bidong juara masak

Oleh; Esah Abdullah

Sukar memilih yang terbaik kerana kesemua 16 buah sekolah yang menyertai pertandingan memasak peringkat kebangsaan memenuhi syarat yang ditetapkan pihak penganjur iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia.

“Hanya sedikit kecuaian yang memisahkan antara mereka iaitu terlebih memasukkan garam ke dalam masakan,” demikian komen salah seorang juri pertandingan Hajah Muni Abdul Kadir.

Dalam pertandingan berkenaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, Setiu muncul juara Pertandingan Memasak Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan yang berakhir semalam di Primula Beach Resort.

SMK Lembah Bidong yang diwakili Nur Hazwani Mohd Rashid dan Nur Aisyah Nadzirah Ahmad Ramzan serta peserta tunggal lelaki Atraz Omar telah menewaskan 15 sekolah lain dari seluruh negara.

Hidangan nasi harmoni, siakap kukus dua jiwa, kerabu mangga cinta abadi dan puding milo yang disediakan oleh tiga sahabat karib itu menepati tema ‘masakan pengantin’ pihak penganjur.

“Saya tidak sangka masakan kami mendapat penghargaan sekaligus memenangi tempat pertama,” kata Atraz seorang pemain ragbi di sekolahnya serta gemar memasak.

Pertandingan memasak anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan acara tahunan dan tahun ini Terengganu menjadi tuan rumah bagi edisi ke 14.

SMK Datuk Abdul Samad, Negeri Sembilan memenangi tempat kedua manakala SMK Dato’ Onn, Johor tempat ketiga.

Johan pertandingan menerima wang tunai RM3,000 termasuk untuk pelajar (RM2,000) dan tabung ERT sekolah (RM1,000) beserta hamper, sijil penghargaan dan trofi.