Halaman

16 October 2011

Bantuan sekolah dibayar Disember

Analisis oleh: Kamarudin Mat Akib

Berita baik kepada semua ibu bapa yang mempunyai anak yang sedang belajar di sekolah rendah dan menengah bantuan penuh kerajaan – Bayaran bantuan RM100 kepada setiap pelajar akan dibuat pada bulan Disember.

Sewaktu membentangkan Belanjawan 2012, 7 Oktober lalu, Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, mengumumkan bantuan persekolahan RM100 akan diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 di seluruh negara.

Beliau turut mengumumkan pemberian baucer buku bernilai RM200 kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, mengumumkan bayaran bantuan sekolah RM100 kepada pelajar akan dibuat pada bulan Disember selepas Perdana Menteri memberi kelonggaran agar bayaran itu dilakukan sebelum sesi persekolahan 2012 bermula.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, menjelaskan semua pelajar berhak untuk menerima bantuan tersebut tidak kira mereka daripada kumpulan mana.

Beliau berkata, bantuan itu sepatutnya diberi tahun depan kerana bajet yang dibentangkan Perdana Menteri untuk perbelanjaan tahun 2012, tetapi disebabkan sesi persekolahan bermula bulan Januari, kerajaan mahu ia dibayar pada bulan Disember tahun ini, bagi meringankan beban ibu bapa yang terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk anak-anak sekolah.

Bantuan tersebut bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan yang akan dicapai melalui perbincangan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kewangan kerana ia melibatkan peruntukan yang besar iaitu sebanyak RM500 juta.

Pada peringkat awal, bayaran itu akan dibuat melalui pihak sekolah di mana ibu bapa akan mendapat wang itu secara tunai kerana sekolah mempunyai rekod anak-anak mereka yang belajar.

Dalam hal ini sifat kecaknaan kerajaan terhadap masalah ibu bapa menyediakan keperluan pembelajaran anak-anak mereka, khususnya pada hujung tahun, amat terserlah.

Baik kerajaan negeri, mahu pun Kerajaan Persekutuan, kebajikan rakyat menjadi keutamaan dalam setiap agenda dan program yang dilakukan.

Rakyat perlu faham soal menjaga kebajikan rakyat sudah menjadi amalan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi.

Pemimpin BN tidak perlu mencanang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara kebajikan kerana negara ini sememangnya sebuah negara kebajikan sejak Perdana Menteri pertama, Tunku Abduk Rahman menerajui pemerintahan negara.

Legasi Tunku Abdul Rahman menjaga kebajikan rakyat Malaysia seterusnya disambung oleh Perdana Menteri kedua, ketiga, keempat hinggalah kepada Dato’ Sri Mohd Najib.

Justeru jika ada pihak lain yang menabur janji manis kononnya mahu menjadikan Malaysia sebagai negara kebajikan, rakyat perlu faham bahawa pemimpin BN sudah melakukannya sejak lebih 50 tahun lalu.