Halaman

16 October 2011

16 sekolah sertai pertandingan memasak peringkat kebangsaan

Oleh; Esah Abdullah

Sebanyak 16 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dari seluruh negara akan berentap dalam Pertandingan Memasak Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, Selasa ini.

Setiap pasukan merupakan johan di peringkat negeri diwakili empat pelajar tingkatan empat itu akan beradu kehebatan untuk menyediakan masakan yang bertemakan `masakan pangantin’.

Ketua Unit, Unit Perhubungan dan Pendaftaran, Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pelajaran Negeri, Mohamad Nawawi Rani berkata, program anjuran Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran dengan kerjasama Nestle itu merupakan acara tahunan dan Terengganu menjadi tuan rumah bagi edisi yang ke 14 pada tahun ini.

Katanya, sekolah yang mewakili Terengganu ialah SMK Lembah Bidong, SMK Dato’ Onn (Johor), SMK St Mary (Sabah), SMK Tiang Chambi (Kelantan), SMK St Bernadette’s Convent (Perak), SMK Putrajaya Persint 11 (Putrajaya), SMK Bintang Utara (Kuala Lumpur).

Manakala SMK Tinggi Perempuan Melaka (Melaka), SMK Kg Nangka (Sarawak), SMK Seri Enggang Batu Lima (Kedah), SMK Perempuan Raja Zarina Pelabuah Kelang (Selangor), SMK Datuk Abdul Samad (Negeri Sembilan), SMK Penanti (Pulau Pinang), SMK Perampau Damai Muadzam Shah (Pahang), SMK Abu KM 7 (Perlis) dan SMK Pantai (Wilayah Persekutuan Labuan).

Mohamad Nawawi berkata, kesemua peserta termasuk guru pengiring dan ketua kontinjen akan mula mendaftar pagi esok, bagaimanapun tiga kumpulan yang mewakili Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan mula mendaftar petang ini.

“Program tahunan kementerian itu adalah satu usaha dalam mencungkil bakat pelajar dalam bidang masakan di samping membantu meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang berkenaan,” katanya.

Sempena dengan pertandingan itu turut diadakan demostrasi masakan oleh Chef Muluk, ceramah pemakanan dari Nestle dan pertandingan MAGGI Kreatif Challenge.

Pengarah Bahagian Korikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran, Encik Muhammad Roli Hassan dijangka merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.