Terengganu antara negeri penyumbang terbesar dalam sektor perikanan negara iaitu antara enam hingga tujuh peratus setahun dan jumlah berkenaan dijangka meningkat pada masa akan datang.
Pengarahnya, Encik Zakaria Ismail berkata, terdapat 110 buah bot laut dalam termasuk bot pukat tunda dan pukat jerut sedang beroperasi di negeri ini.
Katanya, bagi memastikan pengeluaran ikan tidak terjejas pihaknya telah mengetatkan pemeriksaan terhadap bot laut dalam bagi memastikan hasil tangkapan menepati buku laporan operasi.
“Kita dapat mengesan berlakunya ketirisan ketika pendaratan hasil tangkapan berdasarkan catatan dalam buku laporan yang tidak sama dengan hasil sebenar,” katanya.
Sehubungan itu katanya, beberapa pegawai diarah membuat pemantauan dan memeriksa setiap kali bot berlabuh untuk mendaratkan ikan di pangkalan.
“Kita tidak akan teragak-agak untuk membatalkan subsidi diesel jika bot berkenaan melanggar syarat yang ditetapkan itu pendaratan tahunan kurang daripada 350 tan metrik (mt) bagi bot pukat tunda dan 250 mt untuk pukat jerut,” katanya.
Walau bagaimanapun pendaratan ikan segar sedikit menurun dalam temph enam bulan pertama tahun ini iaitu 32.751 mt berbanding 72.921 mt tahun lepas namun suasana ini akan berubah bila tiba musim tengkujuh.