Halaman

16 October 2011

JBS sedia RM27,000 untuk penerima anugerah

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Terengganu bakal menganjurkan program Penyampaian Anugerah Belia Terengganu yang bakal berlangsung November ini.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri, Abdul Aziz Abd. Rahman berkata, lokasi program yang diadakan sempena Hari Belia itu belum ditentukan lagi.

"Sebanyak RM27,000 disediakan untuk penerima anugerah bagi tujuh kategori yang dinilai termasuk Tokoh Belia Lelaki dan Wanita serta Tokoh Kepimpinan Lelaki dan Wanita.

“Kategori lain yang dipertandingkan ialah Kesukarelaan Terbaik, Usahawan Belia Terbaik, Persatuan Belia Terbaik, Daya Juang dan Wira Tani,” katanya.

Katanya, pemenang setiap kategori masing-masing akan menerima wang tunai RM3,000, cenderamata dan sijil penghargaan kecuali Persatuan Belia Terbaik akan menerima tambahan RM500 untuk pengurusan pentadbiran.

Mengenai perkembangan persatuan belia di negeri ini, Abdul Aziz berkata, pihaknya menyasarkan penubuhan kira-kira 1,000 pertubuhan seluruh negeri menjelang akhir tahun ini.

Katanya, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah pertubuhan belia di setiap peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Menurut beliau, pada masa ini sebanyak 540 pertubuhan belia didaftarkan di negeri ini dengan kira-kira 35,000 keahlian.

Katanya, JBS sentiasa bekerjasama dengan Majlis Belia negeri dan daerah untuk memastikan matlamat tersebut tercapai.

"Dengan wujudnya pertubuhan belia di peringkat kampung, ia memberi peluang kepada golongan itu melakukan pelbagai aktiviti yang secara tidak langsung dapat membendung gejala kurang sihat," ujarnya.

Menurut beliau, di peringkat penajaan, sekurang-kurangnya 15 orang yang dilantik sebagai jawatankuasa dan penubuhan biro boleh dibentuk bagi membolehkan mereka mendaftar sebagai sebuah pertubuhan belia.