STADIUM Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu dan Stadium Shah Alam, Selangor bakal bergelora malam ini apabila empat pasukan termasuk dua berstatus ‘gergasi’ membuat perhitungan pada separuh akhir pertama dalam kempen Piala Malaysia 2011.
Mereka mempunyai satu misi yang sama iaitu memburu tempat ke final piala paling berprestij itu.
Terengganu tampil dengan label sebagai pasukan Gergasi Pantai Timur selepas kejayaan menumbangkan musuh tradisinya, Kelantan, Jumaat lalu. Terengganu akan turun selaku pasukan pelawat menentang Selangor yang sinonim dengan gelaran Gergasi Merah Kuning.
Ibarat buku bertemu ruas, pertembungan separuh akhir pertama malam ini turut menjadi gelanggang percaturan buat Irfan Bakti dan P. Maniam dalam merencana skuad terbaik yang terdiri daripada barisan pemain kebangsaan.
Bagi Irfan, dia begitu menghormati reputasi Selangor selaku juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali, namun tanpa ada rasa gentar, mereka bersedia melenyapkan impian pasukan lawan yang memburu ‘Misi 33’.
Katanya, kejayaan menyingkirkan Kelantan tempoh hari adalah amaran awal buat mana-mana pasukan di Malaysia agar lebih menghormati kemampuan Terengganu.
“Sejak dari awal saingan lagi saya sudah katakan yang kami tidak takut untuk bertemu mana-mana pasukan termasuklah Selangor.
“Saya memiliki barisan pemain berbakat dengan corak permainan menyerang yang begitu sistematik. Paling penting, pemain Terengganu tidak sedikit pun gentar dengan sorakan padu penyokong lawan,” katanya..
Di sebalik pujian melambung, jurulatih T-Team, Yunus Alif pula mula merasai debaran apabila anak-anak buahnya akan turun melayan kunjungan Negeri Sembilan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia malam ini.
Tanpa sebarang harapan di awal musim, pasukan yang berpengkalan di Kuala Terengganu itu mula melakar kemasyhuran dengan layak ke separuh akhir, sekali gus menjadi satu-satunya wakil kelab yang berada dalam kelompok empat terbaik.
Kini, T-Team hanya selangkah untuk merasai nikmat final Piala Malaysia dengan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu bakal menjadi saksi kepada cabaran pertama pasukan itu.
Menurut Yunus, tahap keyakinan pemain-pemainnya kini berada pada tahap seratus peratus dan hanya menunggu peluang untuk menjadikan impian mereka satu realiti.
Namun katanya, para pemain juga diingatkan agar tidak terlalu leka di sebalik kejayaan melangkah ke separuh akhir kerana misi menentang Negeri Sembilan bukanlah satu tugas mudah.
“Berada di separuh akhir sudah memberi kepuasan kepada saya, tetapi kami perlu teruskan usaha kami kerana pejuangan pasukan belum selesai.
“Kami sentiasa menghormati Negeri Sembilan kerana mereka merupakan lawan yang kental dengan barisan pemain penuh bakat. Sejarah juga sudah membuktikan pasukan lawan begitu menyerlah di pentas Piala Malaysia sejak beberapa tahun lalu,” kata Yunus