Halaman

19 October 2011

Penjawat awam perlu jaga kesihatan

Oleh: Suriati Ali


Penjawat awam di negeri ini diminta menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan pemakanan sihat bagi mengelakkan daripada menghidap pelbagai penyakit serius, termasuk gejala `nyanyuk’, sebelum mencapai umur pesaraan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata mereka perlu berbuat demikian kerana usia persaraan bagi penjawat awam kini dinaikkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun.

Beliau berkata, Belanjawan 2012 yang diumumkan Perdana Menteri pada Oktober lalu menyediakan banyak insentif yang menggembirakan semua lapisan rakyat, termasuk penjawat awam.

Katanya , penjawat awam menerima berita baik kerana selain diberi kenaikan gaji dan bonus, umur persaraan mereka dilanjutkan.

“Sehubungan itu, saya cukup berharap kita bersama-sama menjaga kesihatan diri sepanjang hayat supaya kelihatan cerdas dan ceria ketika bertugas.

“Apabila langkah seumpamanya diamalkan, secara tidak langsung pelbagai penyakit serius, termasuk nyanyuk dapat dielak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil 5S dan Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan bagi Julai hingga September di Wisma Darul Iman, KualaTerengganu, hari ini.

Seramai 15 kakitangan WDI menerima anugerah itu, antaranya Puan Azizah Ali dari Pejabat Perbendaharaan Negeri; Haji Muhammad Nor (Pejabat Setiusaha Kerajaan Negeri (SUK), Khidmat Pengurusan); Puan Maimunah Che Muda (Unit Audit Dalam) dan Encik Ahmad Asrul Mohd Ghani dari Pejabat SUK (Khidmat Pengurusan Sumber Manusia).

Penerima lain, Cik Esah Abdullah dari Unit Komunikasi Negeri; Y.M Sharifah Rohizan Syed A.Kadir (Pejabat SUK,Khidmat Pengurusan Sumber Manusia); Encik Mejenun @ Mazuki Abdullah (Unit Pengurusan Maklumat Negeri) dan Encik Jusoh Ali (Pejabat SUK Khidmat Pengurusan).

Dato’ Haji Mazlan berkata kerajaan negeri menyambut baik keseluruhan Bajet 2012 kerana ia mencerminkan inisiatif kerajaan untuk mencapai keseimbangan dalam menguruskan isu berkaitan rakyat.

“Kerajaan jelas peka dan mengambil berat mengenai kebimbangan yang disuarakan rakyat terhadap isu sara hidup dengan menyediakan banyak manfaat kepada semua golongan,” katanya.


No comments: