Halaman

17 November 2011

MB mahu jumpa penulis blog di mahkamah

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad nekad mahu mengambil tindakan undang-udang terhadap penulis blog yang menfitnah beliau walaupun terdapat di kalangan mereka sudah memohon maaf secara terbuka.

Katanya, dia tidak akan memaafkan mereka kerana yang dilakukan itu cukup mengaibkan dirinya dan keluarga. Jika saya memaafkan mereka, bermakna senanglah kalau ada lagi penulis yang memfitnah orang, kemudian tampil minta maaf, selepas itu bebas.

“Itu sangat tidak adil bagi pihak yang telah menabur fitnah perlu bertanggungjawab dan menerima hukuman sewajarnya, saya serah semua ini kepada pihak polis.

“Selepas polis selesai menjalankan siasatan, saya akan melantik peguam dan jumpa dimahkamah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, penulis-penulis itu mahu musnahkan reputasi dan kerjaya saya dan sekarang sudah tiba masanya kita jumpa di mahkamah.

“Ahmad menolak dakwaan penulis blog itu kononnya beliau berkahwin kali ketiga dan mengaitkannya dengan isu tangkap khalwat. Saya tidak berkahwin kali ketiga,” katanya.

Menteri Besar sebelum ini dilaporkan bercadang untuk membuat laporan polis dan menyaman dua pemilik laman blog yang dikatakan memfitnah dirinya berhubung isu beliau dikatakan telah ditangkap basah sebelum ini.

Ahmad merujuk dua dua blogger itu ialah pemilik blog http://msomelayu.blogspot.com/ dan guanopulok.blogspot.com yang didakwa memfitnah beliau sejak tiga bulan lalu.

Tambah Dato’ Seri Haji Ahmad, pihaknya juga telah mengenalpasti pemilik blog itu sebagai blog 'mso' manakala sebuah lagi blog iaitu 'guanopulok' masih lagi disiasat kerana blog tersebut dipercayai telah didaftarkan di California.

Dalam laporan pada 4 Oktober lalu, pemilik blog guanopulok.blogspot.com mendakwa Menteri Besar itu telah 'ditangkap' oleh seseorang di Hilton Sentral.

Menurut cerita dalam blog itu, isteri ketiganya itu yang berumur sekitar 40-an merupakan bekas isteri ahli perniagaan yang juga bekas isteri kerabat Diraja Terengganu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin mengesahkan telah menerima laporan berhubung perkara itu.

"Saya tak boleh ulas panjang mengenai perkara itu tapi kita akan siasat kes tersebut di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan," katanya.


Hepatitis A tidak jejas sektor pelancongan Tasik Kenyir

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri Terengganu yakin wabak penyakit Hepatitis A di beberapa kampung di Hulu Terengganu tidak akan menjejaskan sektor pelancongan di Tasik Kenyir.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata ini kerana wabak itu tidak melibatkan kawasan lain di daerah Hulu Terengganu.

"Kita percaya virus ini tidak menjejaskan sektor pelancongan di Tasik Kenyir," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ecxo, semalam.

Beliau berkata setakat ini, virus itu dikesan di Kampung Basoh, Pasir Dula dan Padang Setebu yang menyebabkan 42 orang terpaksa dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu.

“Virus ini dikesan di Kampung Basoh, Pasir Dula dan Padang Setebu yang menyebabkan 42 orang dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu.

“Pada peringkat awal, wabak itu berlaku di perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Berua, menyebabkan penduduknya berpindah ke atas bukit,” katanya.

Beliau berkata secara kebetulan, kawasan bukit itu merupakan sumber air yang dibekalkan beberapa kampung termasuk tiga yang terlibat dengan wabak berkenaan.

"Jadi, kemungkinan ada pembuangan najis dan sebagainya yang menyebabkan virus atau kuman itu merebak ke kawasan terlibat," katanya.

Dato’ Seri haji Ahmad juga berkata ketika melawat kampung terlibat semalam, beliau mendapati penduduknya menggunakan air bukit walaupun mendapat bekalan air bersih yang disediakan Syarikat Bekalan Air Terengganu (SATU).

“Selain itu, air yang mereka minum tidak dimasak terlebih dahulu dan dibuat ketulan ais, katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk kampung yang tinggal berhampiran dengan kawasan wabak agar memasak air sebelum meminumnya


16 November 2011

i-Heal bersedia untuk terbang tinggi


Pembedahan pintasan (bypass surgery) yang dilakukan oleh pakar pembedahan jantung, Dr. David Khoo Sin Keat di iHEAL selama kira-kira empat jam bagi membuat penggantian tiga salur darah jantung sebelah kiri dan kanan (vena dan arteri)pesakit, Loke Keng Weo, 57 tahun, yang tersumbat. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh FAUZI MOHD

Walaupun langkahnya tidak sampai setengah tahun, i-Heal Medical Centre Kuala Lumpur kini dikatakan sudah berada dalam status pusat perkhidmatan kesihatan pakar pilihan.

Setelah melakar sejarah dalam pembedahan jantung pertama pada 13 Oktober lalu dan kali kedua pada 3 November, i-Heal hari ini membuktikan kemampuannya untuk terbang lebih tinggi dalam menawarkan rawatan kesihatan.

Pengarah Kesihatan i-Heal, Dr. David Khoo Sin Keat berkata, pembedahan pintasan (bypass surgery) selama kira-kira empat jam itu bagi membuat penggantian tiga salur darah jantung sebelah kiri dan kanan (vena dan arteri) Loke Keng Weo, 57 tahun, yang tersumbat.


Katanya, tiga salur darah bersaiz 1.8 hingga 2 milimeter dari peha kiri dan kanan pesakit sepanjang 10 hingga 13 sentimeter digunakan untuk membuat pintasan dan satu salur darah pada bahagian rongga dada disambung terus ke jantung kanan.

"Pembedahan ini bagi memulihkan pengaliran darah ke bahagian jantung pesakit dimana salur darah jantung kanan tersumbat 100 peratus manakala dua salur darah sebelah kiri antara 60 hingga 80 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada krew wartawan Teganukita selepas mengetuai pembedahan itu di i-Heal Medical Centre di pusat membeli belah Mid Valley, Kuala Lumpur, hari ini.




Pusat kesihatan itu dibangunkan dengan modal RM28 juta oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu (LTAWT) yang menguasai 60 peratus kepentingan sahamnya dan baki 40 peratus lagi oleh Biomedical Technologies Sdn. Bhd. dan pengasasnya iaitu Sin Keat sendiri.

Tambah Sin Keat, pembedahan menjadi lebih cepat dengan penggunaan alat pengimbas, CT Scanner yang mampu menghasilkan 640 'slice 4D' dan ia adalah yang tercanggih di dunia dan pertama di Malaysia.

Katanya, dengan kemudahan teknologi i-Heal, tiada pembedahan dilakukan untuk mengesan masalah jantung tersumbat dengan menggunakan CT Scanner.







"Dengan teknologi kamera pembedahan, kaki tidak perlu dibelah untuk mengambil salur darah tanpa melibatkan masa operasi yang lama.

"Apa yang menarik di i-Heal, pembedahan ini tanpa menggunakan pam bagi menggantikan fungsi jantung dan paru-paru masa operasi. Salur darah dijahit dalam keadaan jantung sedang berdegup," katanya yang berpengalaman membedah jantung lebih 1,000 kali tanpa pam.

Terengganu agih bantuan pakaian sekolah

Oleh: Suriati Ali.

Kerajaan negeri akan mengagihkan wang tunai RM100 seorang bagi bantuan pakaian sekolah kepada 119,000 pelajar sekolah menengah dan rendah di Terengganu, seminggu sebelum sesi persekolahan 2012 bermula.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata jumlah itu membabitkan peruntukan RM12 juta di mana ibu bapa mereka berpendapatan RM1,500 ke bawah, layak menerima sumbangan tersebut.

“Pihaknya menetapkan setiap keluarga akan mendapat bantuan maksimum hanya untuk dua orang atau RM200 bagi setiap keluarga.

“Agihan seumpama ini sudah lama di laksanakan di Terengganu dan mengharapkan mereka menggunakan sumbangan itu sebaik mungkin dengan membeli pakaian dan peralatan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Katanya, dia tidak mahu lagi melihat ada pelajar yang hadir ke sekolah dalam keadaan kurang selesa, kasut koyak dan sebagainya.

“Setiap ibu bapa mesti prihatin terhadap aspek itu kerana selain memperoleh bantuan daripada kerajaan negeri, mereka turut menerima bantuan kerajaan pusat iaitu RM100 bagi setiap anak yang masih bersekolah.

“Kita akan mengagihkan sumbangan itu melalui majlis penyerahan yang akan diadakan di lokasi yang bakal ditentukan kemudian,” katanya.


Program Jom ke Masjid ajak belia dekati masjid

Oleh; Esah Abdullah

Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu (PADKT) laksana Program Jom Ke Masjid (PJKM) dalam usaha mengajak masyarakat mengimarahkan masjid dengan menyusun pelbagai aktiviti membabitkan golongan muda.

Penolong Pegawai PADKT (Bahagian Pengurusan Masjid), Puan Fazila Ishak berkata, peruntukan RM50,000 akan diagih-agihkan kepada masjid terpilih dalam daerah bagi melaksanakan program berkenaan.

“Masyarakat setempat bebas merancang aktiviti mengikut kesesuaian penduduk yang diwakili,” katanya kepada Teganukita ketika di temui dalam PJKM di Masjid Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Katanya, pelbagai aktiviti boleh dirancang oleh jawatankuasa masjid dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pelaksanaan aktiviti dalam kawasan masjid.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti pertandingan futsal, bola jaring untuk golongan belia, pertandingan azan, baca surah untuk pelajar berusia lapan tahun ke atas.

“Golongan suri rumah pula bergotong royong memasak nasi beserta lauk kemudian penduduk kampung beramai datang menjamu selera di masjid,” katanya.

Katanya, kemeriahan jelas terpancar dan jalinan kemesraan begitu ketara bila membabitkan semua lapisan masyarakat hadir memberi sokongan.

“Program yang julung kali diadakan ini berjaya memupuk semangat cintakan masjid di samping menimbulkan kesedaran masyarakat bahawa masjid juga boleh diimarahkan dengan pelbagai aktiviti di samping solat lima waktu,” katanya.





Penyu mantap skuad hadapi cabaran 2012


Pasukan Penyu memantapkan skuadnya dengan memanggil balik dua pemain kelahiran negeri ini bagi menghadapi cabaran musim 2012 yang dijangka lebih mencabar dengan kehadiran pemain import.

Dua pemain tersebut ialah Hariri Shafie yang bermain dengan pasukan Sabah dan Shamsul Kamal (T-Team).

Pengurus pasukan Terengganu, Dato’ Che Mat Jusoh, berkata pihaknya juga akan mendapatkan khidmat beberapa pemain pasukan Harimau Muda bagi menguatkan pasukan.

Menurut beliau, Terengganu masih mengekalkan 18 pemain utama pasukan tersebut dalam usaha menjaga prestasi pasukan pada musim depan.

“Terengganu yakin mampu mencapai kejayaan lebih baik dalam perlawanan Liga Malaysia musim depan di bawah bimbingan jurulatih baru Mat Zan Mat Aris,” katanya.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan pencapaian jurulatih itu membawa Terengganu menjadi juara Piala Malaysia 2001.

"Kita yakin dengan kemampuan jurulatih yang berasal dari Kuala Lumpur ini," katanya.
Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata tahun depan tugas Terengganu semakin mencabar iaitu selain menghadapi Liga Malaysia, pasukan itu juga bakal menghadapi pertandingan Piala AFC.

Katanya, Terengganu buat pertama kali dipilih menyertai kejohanan itu berikutan kejayaan pasukan bola sepak negeri itu menjadi juara Piala FA 2011.

Mengenai pemain import pula, Dato’ Che Mat berkata agen-agen telah memberi jaminan akan membawa pemain import yang berkualiti kepada Terengganu.

Beliau berkata pemain import itu penting bukan sahaja untuk menghadapi Liga Malaysia tetapi juga untuk menghadapi Piala AFC.

Terengganu berjaya mencatat kejayaan cemerlang dalam pertandingan Liga Malaysia musim ini iaitu juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia.

Juara dunia berkampung di Pulau Duyong

Oleh FAUZI MOHD

Dunia pelayaran bertumpu ke Pulau Duyong, Kuala Terengganu untuk Piala Monsun 2011, acara kemuncak Siri Jelajah Match Racing Dunia (WMRT).

Kejohanan tahun ini akan ditentukan pada perlumbaan dari 22 hingga 27 November ini.

Sejak penubuhannya pada tahun 2005, Piala Monsun telah menarik beribu-ribu pelancong dan peminat untuk menyaksikan sendiri aksi-aksi pelayar terhebat dunia pada perlumbaan tahunan yang telah memperoleh pengiktirafan global.

Kehadiran Piala Monsun di Terengganu telah membantu mengembangkan sukan itu secara komersial dan mendedahkan bakat muda di negara ini serta di seluruh dunia.

Menjelang peringkat akhir WMRT, Piala Monsun adalah acara penentuan juara yang akan dinobatkan sebagai Juara Dunia Match Racing ISAF.

Ian Williams (GBR) GAC Team Pindar dengan 106 mata, berazam untuk mengekalkan pendahuluan dalam perlumbaan dan telah membuat rancangan untuk terbang ke Kuala Terengganu untuk berlatih sebelum acara.

Williams memilih Terengganu daripada Perth, Australia untuk latihannya dan membiasakan dirinya dengan keadaan cuaca di Pulau Duyong.

Ketibaan awal empat hari sebelum Piala Monsun akan menjadi satu kelebihan penting untuk prestasi beliau dalam cubaannya untuk memenangi gelaran Juara WMRT ketiga.

Pemisahan mata dengan pesaing terdekatnya adalah tipis dengan 100 mata bagi Francesco Bruni (ITA) Bruni Racing dan Torvar Mirsky (AUS) The Wave Muscat dengan 99.8 mata.

Kedua-kedua pesaing sengit ini tidak dapat menjalani latihan untuk perlumbaan akan datang kerana dua orang krew daripada pasukan Mirsky kini bersaing dalam Siri Dunia AC di San Diego, Amerika Syarikat.

Bagaimana pun, Williams yang pernah menjuarai WMRT pada tahun 2007 dan 2008 masih perlu berhati-hati dengan Jesper Radich (DEN) Adrian Lee & Partners yang menduduki tempat ketiga pada Piala Monsun tahun lepas dan Peter Gilmour (AUS) YANMAR Racing yang telah memenangi Piala Monsun dua kali sebelum ini.

Malah, Johnie Berntsson (SWE) Berntsson Sailing team yang kini menduduki tempat kelapan dalam ranking dunia ISAF boleh mengganggu kedudukan, setelah memenangi tempat ke-2 di Argo Group Gold Cup di Bermuda baru-baru ini.

Ian Williams bercadang untuk membiasakan diri dengan keadaan berada di atas kapal layar terlebih awal sebagai strategi perlawanan nanti.

Calon UPSR ambil keputusan esok

Oleh: Suriati Ali

Lembaga Peperiksaan Malaysia sudah menghantar keputusan peperiksaan Ujian Pecapaian Sekolah Rendah ke setiap Jabatan Pelajaran Negeri di seluruh Malaysia termasuk Terengganu.

Sehubungan itu, setiap pelajar akan dimaklumkan keputusan mereka di sekolah masing-masing pada jam 10 pagi.

Mengikut rekod Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), pada tahun ini, seramai 23,250 calon menduduki peperiksaan UPSR melibatkan 373 buah pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, Kuala Terengganu mencatatkan calon tertinggi seramai 7,763 calon, Kemaman (3,780 calon), Besut (3,515), Dungun (3,055 calon), Marang (2,182), Hulu Terengganu (1,547) dan Setiu (1,408).

Bilangan calon yang menduduki peperiksaan tahun ini meningkat sedikit berbanding 23,154 calon pada tahun lalu.

Berdasarkan peperiksaan percubaan baru-baru ini, para pelajar yang menduduki peperiksaan itu menunjukkan keputusan yang amat cemerlang.

Jika Terengganu mampu mengekalkan rekod sebagai negeri terbaik bagi peperiksaan tersebut tahun ini, bermakna negeri ini menjadi juara UPSR seluruh negara buat tahun ke-11 berturut-turut.



MBKT laksana Program Pemutihan Bangunan

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) meminta semua pemilik premis perniagaan yang beroperasi di Jalan Kuala Berang dan Jalan Kelantan supaya mengemukakan permohonan menduduki bagi mengelakkan timbul masalah kemudian hari.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang berkata, pihaknya sedang melaksanakan Program Pemutihan Bangunan (PPB) mulai November tahun lalu untuk memberi peluang masyarakat di kawasan terbabit membuat urusan dengan MBKT.

Katanya,kawasan berkenaan terbabit dengan pembesaran jalan dan terdapat 952 premis perniagaan di dua laluan berkenaan.

“Sebarang usaha mengubahsuai premis perlu mendapat kelulusan menduduki semula daripada MBKT dan pemilik premis perlu mengambil peluang bila kita wujudkan PPB semata-mata untuk memudahkan mereka membuat urusan,” katanya.

Menurut Dato’ Haji Adzlan, terdapat 952 premis perniagaan pelbagai berada di sepanjang jalan berkenaan dan 541 buah terletak di Jalan Kuala Berang manakala selebihnya di Jalan Kelantan.

Katanya, daripada jumlah berkenaan hanya 154 premis di Jalan Kuala Berang dan 111 Jalan Kelantan atau 30 peratus menyertai pematuhan pemutihan manakala 70 peratus lagi gagal berbuat demikian.

Sehubungan itu MBKT telah melantik empat panel pelukis pelan dan empat panel arkitek bagi membantu kelancaran proses permohonan.

Katanya, kadar dikenakan mengikut meter persegi iaitu RM0.65 kaki persegi dan caj minima perkhidmatan sebanyak RM500 beserta pelan bercetak yang ditandatangani atas kertas bersaiz A3.






Penjawat awam perlu bersedia hadapi saingan global

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sektor perkhidmatan awam di negara ini berdepan dengan persaingan global yang menuntut mereka meningkatkan mutu perkhidmatan dalam memberi khidmat terbaik kepada pelanggan.

Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Mohamad Zabidi Zainal, berkata penjawat awam akan ketinggalan jika mereka tidak berusaha menghadapi persaingan tersebut, khususnya di bidang teknologi.

“Penjawat awam tidak perlu menunggu arahan daripada pihak pengurusan bagi meningkatkan mutu kerja dan inovasi di jabatan masing-masing, jika ia mampu membantu menambah kecekapan dan prestasi jabatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Inovasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 2011 di Taman Tamadun Islam, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Pengarah JKM, Haji Hadzir Md Zain; pengarah-pengarah JKM seluruh negara dan pegawai-pegawai kanan JKM.



Majlis itu menyaksikan pelancaran empat program yang begitu signifikan kepada JKM iaitu pelancaran Pelan Transformasi JKM, Kempen Mesra Pelanggan JKM, Pensijilian Semula MS ISO 9001:2008 dan Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi JKM.

Idea transformasi JKM bermula daripada kesedaran bahawa jabatan itu merupakan sebuah agensi penting kepada rakyat, perlu sentiasa meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatannya kepada pelanggan agar dapat memenuhi keperluan rakyat.



Dato’ Mohamad Zabidi berharap agar semua penjawat awam, khususnya kakitangan JKM supaya menitikberatkan kehendak pelanggan dan melakukan yang terbaik untuk kepuasan mereka.



Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang yang dinobatkan sebagai johan keseluruhan Anugerah Inovasi JKM 2011, meraih hadiah wang tunai RM3,000 diiringi piala dan sijil.