Halaman

16 November 2011

Juara dunia berkampung di Pulau Duyong

Oleh FAUZI MOHD

Dunia pelayaran bertumpu ke Pulau Duyong, Kuala Terengganu untuk Piala Monsun 2011, acara kemuncak Siri Jelajah Match Racing Dunia (WMRT).

Kejohanan tahun ini akan ditentukan pada perlumbaan dari 22 hingga 27 November ini.

Sejak penubuhannya pada tahun 2005, Piala Monsun telah menarik beribu-ribu pelancong dan peminat untuk menyaksikan sendiri aksi-aksi pelayar terhebat dunia pada perlumbaan tahunan yang telah memperoleh pengiktirafan global.

Kehadiran Piala Monsun di Terengganu telah membantu mengembangkan sukan itu secara komersial dan mendedahkan bakat muda di negara ini serta di seluruh dunia.

Menjelang peringkat akhir WMRT, Piala Monsun adalah acara penentuan juara yang akan dinobatkan sebagai Juara Dunia Match Racing ISAF.

Ian Williams (GBR) GAC Team Pindar dengan 106 mata, berazam untuk mengekalkan pendahuluan dalam perlumbaan dan telah membuat rancangan untuk terbang ke Kuala Terengganu untuk berlatih sebelum acara.

Williams memilih Terengganu daripada Perth, Australia untuk latihannya dan membiasakan dirinya dengan keadaan cuaca di Pulau Duyong.

Ketibaan awal empat hari sebelum Piala Monsun akan menjadi satu kelebihan penting untuk prestasi beliau dalam cubaannya untuk memenangi gelaran Juara WMRT ketiga.

Pemisahan mata dengan pesaing terdekatnya adalah tipis dengan 100 mata bagi Francesco Bruni (ITA) Bruni Racing dan Torvar Mirsky (AUS) The Wave Muscat dengan 99.8 mata.

Kedua-kedua pesaing sengit ini tidak dapat menjalani latihan untuk perlumbaan akan datang kerana dua orang krew daripada pasukan Mirsky kini bersaing dalam Siri Dunia AC di San Diego, Amerika Syarikat.

Bagaimana pun, Williams yang pernah menjuarai WMRT pada tahun 2007 dan 2008 masih perlu berhati-hati dengan Jesper Radich (DEN) Adrian Lee & Partners yang menduduki tempat ketiga pada Piala Monsun tahun lepas dan Peter Gilmour (AUS) YANMAR Racing yang telah memenangi Piala Monsun dua kali sebelum ini.

Malah, Johnie Berntsson (SWE) Berntsson Sailing team yang kini menduduki tempat kelapan dalam ranking dunia ISAF boleh mengganggu kedudukan, setelah memenangi tempat ke-2 di Argo Group Gold Cup di Bermuda baru-baru ini.

Ian Williams bercadang untuk membiasakan diri dengan keadaan berada di atas kapal layar terlebih awal sebagai strategi perlawanan nanti.